Skip to main content

Bisnes

Video Merdeka SJKP sorot realiti rakyat miliki rumah sendiri

Sumber: SJKP
Kisah Abdullah mencerminkan realiti sebahagian rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan tidak tetap, bekerja sendiri dan pekerja sektor gig yang berdepan cabaran mendapatkan pembiayaan perumahan. - Foto SJKP
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keinginan memiliki rumah sendiri menjadi fokus kempen video Merdeka Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) yang mengetengahkan realiti kehidupan rakyat Malaysia dalam usaha mendapatkan kediaman pertama.

Berbentuk Pesanan Khidmat Awam (PSA), video berkenaan membawa kisah Abdullah, seorang pekerja gig yang membina kehidupan dari bawah, berdepan tekanan kewangan, kos sara hidup, tempoh bekerja yang panjang serta cabaran berulang ketika menyewa rumah.

Kisah Abdullah mencerminkan realiti sebahagian rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan tidak tetap, bekerja sendiri dan pekerja sektor gig yang berdepan cabaran mendapatkan pembiayaan perumahan.

Menerusi perjalanan daripada menyewa kepada memiliki rumah sendiri, video itu mengangkat pemilikan kediaman sebagai satu bentuk “kemerdekaan” yang dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk kebebasan daripada ketidakpastian tempat tinggal serta peluang membina masa depan yang lebih bermakna.

Menurut Pegawai Utama SJKP Berhad, Juanita Rusmini Abdul Jalil, pemilikan rumah sendiri boleh menjadi sebahagian daripada definisi kemerdekaan bagi rakyat, termasuk golongan yang bekerja sendiri.

“Setiap rakyat mempunyai definisi kemerdekaan mereka sendiri.

“Sesetengah orang mungkin mempunyai impian dalam bentuk kebebasan untuk menentukan masa depan dengan memiliki sebuah rumah sendiri.

“Bagi mereka yang bekerja sendiri mungkin beranggapan bahawa memiliki rumah sendiri adalah mustahil tanpa penyata gaji yang kukuh, tetapi dengan jaminan Kerajaan melalui SJKP, impian tersebut boleh direalisasikan,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.

Image
Sumber: SJKP
Video mengangkat pemilikan kediaman sebagai satu bentuk “kemerdekaan” yang dekat dengan kehidupan rakyat. - Foto SJKP

Sebagai syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, SJKP diberi mandat untuk mengurus dan mentadbir skim jaminan Kerajaan ke atas kemudahan pembiayaan yang diberikan institusi kewangan yang mengambil bahagian, bagi membantu rakyat Malaysia memiliki rumah pertama.

Skim berkenaan turut menyokong golongan berpendapatan tidak tetap, bekerja sendiri dan pekerja gig yang tidak mempunyai penyata gaji, dengan SJKP berperanan sebagai penghubung dalam membuka akses kepada pembiayaan rumah pertama bagi mereka yang layak.

SJKP berharap kempen itu dapat meningkatkan kesedaran bahawa pemilikan rumah pertama bukan sekadar impian, sebaliknya matlamat yang boleh dirancang dan diusahakan melalui saluran pembiayaan yang bersesuaian.

Rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan perkhidmatan SJKP boleh mendapatkan maklumat melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian atau laman web rasmi SJKP di www.sjkp.com.my .


 

Must Watch Video

Advertisement