KUALA LUMPUR – Polis sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi menjejaki sekumpulan penjenayah yang melarikan emas bernilai RM9.7 juta dalam kejadian rompakan di Brickfields, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Hoo Chang Hook berkata, usaha tersebut penting bagi mengesan laluan suspek selepas melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Setakat ini seramai 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan. Mereka daripada pengadu, pemilik premis dan 10 pekerja kedai emas tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang sah dan pihaknya turut mengambil keterangan pemilik asal nombor pendaftaran tersebut,” ujarnya.
Dalam kejadian semalam, sekumpulan empat lelaki bersenjata melarikan 21 dulang barang kemas dengan anggaran berat 15 kilogram bernilai RM9.7 juta di sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan kira-kira pukul 11 pagi.
Suspek yang dipercayai bersenjatakan dua pucuk pistol datang ke premis tersebut dengan menaiki sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih.
Kumpulan penjenayah tersebut kemudian menyerbu masuk ke dalam premis berkenaan dan mengugut pengawal keselamatan sebelum memanjat kaunter pameran dan melarikan aksesori berharga tersebut.
Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan sama sejurus selepas kejadian. – KOSMO! ONLINE














