Gambar hiasan.

Wanita warga asing maut terjatuh aras tiga KLIA2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Seorang wanita warga asing maut selepas terjatuh dari aras tiga Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, mangsa yang merupakan warga China berusia 27 tahun dilaporkan berada di kawasan luar balkoni aras tiga berkenaan sebelum terjatuh ke kawasan ruang pemunggahan terminal.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, sebelum kejadian, wanita terbabit dilihat dalam keadaan emosi tidak stabil, menangis serta menjerit secara agresif.

Beliau berkata, petugas dan pegawai keselamatan telah cuba menenangkan mangsa, namun tidak berjaya.

“Seorang anggota keselamatan turut cuba mendekati untuk menyelamatkannya, tetapi mangsa bertindak meronta sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian telah memberikan rawatan kecemasan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.09 petang.

Tambahnya, hasil semakan mendapati mangsa dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke China pada esok.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR),” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-87768222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di