Tertuduh bersama peguamnya selepas keluar dari Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan sebar berita palsu hari ini.

Suri rumah didakwa kes pertama babitkan berita palsu harga minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG- Seorang wanita yang juga suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan kenaikan harga bahan api.

Untuk rekod, ini adalah kes pertuduhan pertama di mahkamah oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan isu berita palsu berkenaan.

Tertuduh, Siti Nor Sayikilla Mohd. Azhar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan platform Threads melalui akaun ‘@cek_apple95’ dan telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya.

Kandungan itu telah yang dilihat pada 31 Mac lalu jam lebih kurang 4:00 petang di Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyber 6, 63000 Cyberjaya, Sepang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azmir Mohd. Razali, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Terdahulu, Mohamad Azmir memohon wang jaminan ditetapkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, namun Muhammad Rafique memohon jaminan paling minima diberikan iaitu sebanyak RM500.

Muhammad Rafique berkata, anak guamnya adalah seorang suri rumah dan mempunyai dua orang anak dimana seorang adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan serta suami yang bekerja kampung.

“Sebelum ini, anak guam bekerja sebagai penjaja makanan malah pernah memohon bantuan zakat tetapi sehingga kini tidak diluluskan.

“Tertuduh bersama suami turut menanggung abang ipar yang juga OKU,” katanya.

Sebelum itu, Ahmad Fuad menegaskan, jumlah jaminan setiap kes ditetapkan berdasarkan keseriusan kes serta kepentingan untuk membendung perbuatan seumpama itu daripada berleluasa dalam masyarakat.

Katanya, undang-undang sedia ada tidak boleh dilenturkan semata-mata untuk memberi kelonggaran kepada tertuduh.

Jelasnya lagi, Mahkamah Majistret sekalipun tidak pernah menetapkan wang jaminan sebanyak RM500 apatah lagi Mahkamah Sesyen.

Tambahnya lagi, mahkamah menilai setiap kes pertuduhan termasuk kesusahan tertuduh namun, mahkamah tetap mengambil kira keseriusan kes dan kepentingan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di