KENDERAAN beratur panjang menuju ke Kompleks ICQS Wang Kelian, dekat Padang Besar petang ini.

ICQS sesak teruk, ramai mahu masuk Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Pintu sempadan negara di negeri ini dan Kedah mengalami kesesakan apabila orang ramai berpusu-pusu ke Thailand sempena cuti Hari Pekerja dan hujung minggu.

Kenderaan beratur panjang di laluan menghala ke negara jiran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian di sini dan Bukit Kayu Hitam sejak awal pagi tadi.

Menurut penduduk dari Kangar, Norashikin Idros, 41, kenderaan berbaris sejauh 500 meter sehingga ke bangunan kompleks untuk pemeriksaan di Wang Kelian.

“Saya bersama suami, tiga anak dan bapa mahu ke Pak Bara untuk makan dan bersiar-siar sempena cuti Hari Pekerja. Kami tiba di Wang Kelian pada pukul 3.45 petang dan masih belum dapat melepasi pemeriksaan.

“Mengikut perancangan asal kami mahu pulang (ke Kangar) malam ini, namun tetap bawa pakaian sekiranya tidak sempat pulang memandangkan aliran trafik agak sesak,” katanya di sini hari ini.

Norashikin berkata, pergerakan kenderaan menuju ke kompleks pemeriksaan sangat perlahan dan ia merupakan situasi biasa setiap kali cuti panjang.

“Memang kena bersabar,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa gambar kesesakan di pintu sempadan Padang Besar kira-kira pukul 12 tengah hari tadi turut dikongsikan di Facebook Princeofdannok.

“Pengguna jalan raya dijangka berdepan kelewatan 90 hingga 120 minit bagi proses pemeriksaan imigresen dan kastam. Selamat bercuti dan menikmati hujung minggu yang panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam memaklumkan, aliran trafik menuju ke negara jiran sesak sejak awal pagi.

“Kesesakan melibatkan kenderaan persendirian dan bas penumpang. Pelancong dinasihatkan supaya mengatur perjalanan lebih awal, merancang masa yang sesuai dan memastikan dokumen perjalanan lengkap bagi mengelak sebarang kesulitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di