Gambar hiasan.

Lari dikejar polis sejauh 135km, rupa-rupanya bawa dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Cubaan tiga individu melarikan diri daripada pemeriksaan polis sejauh 135 kilometer (km) dari Serdang, Selangor berakhir apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, kereta jenis Honda City dipandu wanita berusia 41 tahun tersebut hilang kawalan sebelum melanggar sebuah trak pikap Isuzu D-Max yang dipandu lelaki tempatan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian bermula apabila anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Serdang mengesan sebuah kereta mencurigakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Serdang.

“Anggota mengarahkan kereta itu berhenti untuk pemeriksaan, namun pemandunya enggan memberi kerjasama dan memecut untuk melarikan diri.

“Anggota MPV mengejar kereta itu hingga ke persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, Alor Gajah sebelum kenderaan tersebut hilang kawalan dan melanggar sebuah kenderaan lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kereta itu turut dinaiki dua lelaki berusia 23 dan 43 tahun. Pemeriksaan lanjut menemukan satu peket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 2.16 gram dan syabu seberat 0.65 gram.

“Semakan mendapati seorang daripada suspek lelaki memiliki 24 rekod jenayah dan dadah, manakala seorang lagi mempunyai lapan rekod jenayah. Pemandu wanita pula memiliki dua rekod dadah.

“Ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine, manakala seorang lagi positif morphine. Mereka direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di