Keganasan rumah tangga bukan sahaja membabitkan wanita, tetapi boleh terjadi kepada lelaki.

Lelaki juga boleh jadi mangsa keganasan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU keganasan rumah tangga bukan sesuatu yang asing di negara kita. Definisi keganasan rumah tangga bukan semata-mata melibatkan aspek fizikal, tetapi emosi dan psikologi se­perti memaki hamun, mencaci, bahkan menghina fizikal.

Kesan perbuatan itu boleh dilihat menerusi perubahan sikap kerana ia meninggalkan trauma yang mendalam.

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender, Universiti Sains Malaysia, Dr. Zaireeni Azmi berkata, isu keganasan rumah tangga tidak wajar dipandang enteng oleh semua pihak.

“Kes keganasan rumah tangga bukan ‘kes dalam kain’ atau masalah suami isteri, sebaliknya ia merupakan jenayah yang mencabuli hak asasi manusia dan keselamatan seseorang.

“Keganasan rumah tangga bukan sahaja membabitkan wanita, tetapi boleh terjadi kepada lelaki,” katanya.

Jelas beliau, hukuman berat wajar dikenakan ke atas pesalah sebagai pengajaran untuk diri sendiri dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama selain tidak mahu menjadi norma dalam rumah tangga.

“Jangan berpegang pada ayat bersabar atau tunggu pasangan berubah kerana jika ia berulang, situasi akan menjadi lebih ganas terutama wanita yang mempunyai hak untuk hidup dengan rasa sejahtera dan selamat,” katanya.

Justeru bagi mengekang masalah tersebut, beliau meminta mangsa supaya tampil melaporkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Muhammad Amin Abdullah turut berpandangan bahawa hukuman berat harus dikenakan sekiranya melibatkan kecederaan parah dan penderaan berterusan.

“Namun begitu, tidak semua pesalah wajar dikenakan hukuman sama. Mahkamah akan mempertimbangkan faktor-faktor lain antaranya tahap kecederaan mangsa dan juga fakta kes.

“Sebagai contoh, kes menampar tanpa kecederaan serius tidak boleh disamakan dengan serangan secara berulang menggunakan senjata sehingga menyebabkan kecacatan kekal,” ujarnya.

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dikuatkuasakan pada 1 Jun 1996 untuk melindungi mangsa keganasan isi rumah merangkumi pasangan, bekas pasangan, anak, dan ahli keluarga.

Akta ini membolehkan mangsa memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) daripada mahkamah untuk sekatan terhadap pendera.

Isu keganasan rumah tangga menjadi perhatian selepas bekas peniaga, Rosmaini Abdul Raof yang menyebabkan kecederaan parah ke atas bekas isterinya, Jahidah Nordin sehingga koma dipenjara maksimum 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan bulan lalu.

Baru-baru ini, lelaki yang memiliki tiga isteri itu dihadapkan ke mahkamah kerana mendatangkan kecederaan parah terhadapnya isterinya yang lain di Sungai Petani, Kedah. Tertuduh mengaku tidak bersalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN