Bermula dengan modal sekitar RM20,000 yang dikumpul hasil bekerja di Singapura, wanita itu tidak pernah menyangka perusahaan makanan dimulakannya secara kecil-kecilan mampu berkembang sehingga mencatat jualan enam angka sebulan.
Bagi Siti Hajar Husnan, 41, kejayaan itu bukan hadir dengan mudah, sebaliknya melalui perjalanan panjang yang sarat dengan cabaran, termasuk terpaksa menggunakan kereta Perodua Viva lama yang kemik untuk menghadiri pelbagai program dan acara keusahawanan pada peringkat awal perniagaannya.
Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, minat dalam bidang perniagaan bermula selepas pengalaman bekerja dalam bidang pemasaran dan bioteknologi, sebelum nekad mengusahakan produk makanan sendiri.
“Saya berasal dari Johor dan mempunyai Diploma Kejuruteraan Elektronik daripada Politeknik Kota Bharu. Saya pernah bekerja di Kelantan dalam bidang bioteknologi sebagai pegawai pemasaran dan pernah bekerja di Singapura bagi mengumpulkan modal membuka perniagaan ini kira-kira enam tahun lalu.
“Saya bersama suami, Imtiazalam Ismail, 58, kemudian berjaya mengembangkan perniagaan ini melalui Ieja Food yang kini memasuki tahun keempat dengan memberi tumpuan kepada penghasilan pes masakan dan makanan sedia dimakan (ready-to-eat),” katanya ketika ditemui K-Wanita di AgroBazaar, FAMA, Kawasan Perindustrian
Dioh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Siti Hajar berkata, produknya semakin mendapat perhatian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila permintaan terhadap makanan yang mudah disediakan dan tahan lama semakin meningkat.
“Pada mulanya, kami memproses pes sambal dan beberapa produk secara kecil-kecilan. Ketika PKP, kami nampak makanan ready-to-eat ini boleh pergi jauh.
“Dari situ, kami mula melaburkan lebih banyak wang dalam perniagaan dan mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan untuk memperkemaskan operasi,” katanya.
Kini, Ieja Food mempunyai kira-kira 119 produk termasuk pelbagai pes serba guna, antaranya pes asam pedas yang boleh digunakan untuk menyediakan hidangan ayam, daging dan ikan.
Tidak terhad pada pes, syarikat itu turut menghasilkan produk makanan ready-to-eat seperti masakan berasaskan daging salai, ayam salai serta sup ekor yang dijual pada harga RM18.90.
Menurut Siti Hajar, produk pesnya pula dijual sekitar RM8 bagi pek 200 gram, manakala pelbagai produk makanan lain ditawarkan pada harga bermula RM9.50 dengan jualan lebih 10,000 pek setiap bulan.

“Pes ini kita hasilkan supaya mudah digunakan. Satu pes boleh digunakan untuk goreng mi, nasi atau dijadikan bahan asas masakan.
“Cabaran paling besar adalah dalam proses menghasilkan pes kerana mengambil masa antara lima hingga enam jam. Dalam satu kuali, kita boleh menghasilkan bermula 100 kilogram sehinggalah boleh mencecah 500 kilogram dalam satu-satu masa,” katanya.
Lebih membanggakan, usaha tersebut kini membolehkan Ieja Food mencatat jualan enam angka, dengan keuntungan bersih pada paras lima angka setiap bulan.
Buat pertama kali, dia meraih tempat kedua pada Anugerah Usahawan Bimbingan Risda Terbaik sempena Konvensyen Pekebun Kecil Risda Peringkat Zon Tengah di Seremban pada bulan lalu.
Untuk makluman, produk syarikat berkenaan turut dipasarkan menerusi platform dalam talian seperti Shopee, TikTok dan Lazada, selain Agrobazar serta beberapa pasar raya dan kedai terpilih.
Bagi Siti Hajar, antara perkara paling penting dalam mengembangkan produk makanan adalah tidak takut melakukan penambahbaikan, walaupun terpaksa menanggung kerugian apabila gagal mencapai tahap kualiti ditetapkan.
“Dalam proses R&D (penyelidikan dan pembangunan), kita terpaksa buang produk yang tidak mencapai kualiti ditetapkan.
“Jangan terlalu sayang kerana langkah itu sebenarnya satu proses pembelajaran,” katanya.
Dalam mengembangkan perniagaan, Siti Hajar turut memanfaatkan pelbagai program dan bantuan agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Jabatan
Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia serta agensi berkaitan usahawan.
Menurut ibu kepada lima anak itu, penyertaan dalam pelbagai program, festival halal dan acara usahawan juga membuka peluang untuk jenamanya dikenali oleh lebih ramai pembeli.
“Usahawan industri kecil dan sederhana kena rajin pergi program. Dari situ, orang nampak produk kita dan peluang untuk masuk pasar raya juga terbuka.
“Kalau kita duduk sahaja, orang tidak tahu kita ada produk. Jadi, saya memang galakan usahawan kecil supaya berani pamerkan produk mereka,” katanya.
Siti Hajar kini menyimpan impian lebih besar untuk membawa produk Ieja Food ke pasaran antarabangsa, dan sedang dalam proses mendapatkan sijil Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) sebagai persediaan memenuhi keperluan eksport.
“Kita sedang mengambil pensijilan HACCP untuk memudahkan proses eksport. Sasaran saya, produk Ieja Food dapat pergi ke lebih banyak negara.
“Apabila sertai festival halal pun, kita nampak permintaan itu ada. Jadi, kita perlu bersedia dari sekarang,” katanya.
Dalam masa sama, Siti Hajar mahu membina kilang sendiri yang lebih besar dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Ketika ini, perniagaan tersebut sudah menyediakan kira-kira 10 peluang pekerjaan, selain memberi ruang kepada pelajar menjalani latihan industri.
“Saya mahu perniagaan ini berkembang lebih besar, mempunyai sijil yang diperlukan untuk masuk ke banyak negara dan akhirnya dapat membina kilang sendiri.
“Saya juga mahu mengambil lebih ramai pekerja tempatan. Kalau perniagaan berkembang, kita bukan sahaja membantu diri sendiri, malah boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Bagi Siti Hajar, perjalanan empat tahun membangunkan Ieja Food turut mengajarnya bahawa kejayaan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata.
Mengimbas kembali zaman awal perniagaannya, dia hanya tersenyum mengenangkan memori menggunakan kereta Perodua Viva yang serba kekurangan untuk bergerak ke pelbagai program dan acara bersama suami serta anak-anak.
“Kereta kami dulu Viva, tetapi sebenarnya banyak beri cabaran dan membakar semangat kami. Awal-awal dulu, kereta kemik, anak-anak pun ikut pergi majlis. Sekarang bila tengok kembali, kita rasa penat lelah itu berbaloi kerana apa yang diusahakan mula tercapai,” katanya.














