TEHRAN – Tentera Iran semalam mengumumkan ganjaran bersamaan AS$30,000 (RM122,394) untuk membunuh atau menangkap tentera Amerika Syarikat(AS), dengan habuan berganda jika dilakukan oleh wanita.
Ketua Angkatan Tentera Amir Hatami berkata, tawaran itu berikutan ‘permintaan yang besar’ daripada orang awam untuknya, demikian menurut agensi berita rasmi IRNA.
Tiada penempatan tentera darat AS yang diketahui di Iran semasa perang Asia Barat kecuali misi menyelamat untuk seorang juruterbang Amerika yang ditembak jatuh pada April lalu.
Hatami juga tidak memberikan sebarang butiran mengenai di mana atau bila pembunuhan atau penangkapan tentera AS itu dijangka berlaku.
“Sesiapa yang membunuh atau menangkap dan menyerahkan tentera penceroboh AS akan menerima ganjaran bersamaan AS$30,000 atau 5 bilion toman daripada Tentera Republik Islam Iran,” kata Hatami, menggunakan unit tidak rasmi bersamaan dengan 10,000 rial Iran.
“Wanita Iran yang berani yang melaksanakan tindakan sedemikian pula akan menerima ganjaran berlipat ganda,” tambahnya. – AFP














