Bagi kaunselor dan personaliti terkenal media sosial ini, apa jua konflik antara suami dan isteri, anak dan ibu bapa atau persahabatan bukan kerana tidak memahami tetapi melihat dunia dengan sudut pandang berbeza.

Indikator Kak Kay bantu kenal karakter diri, pasangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN Kamalia Kamal atau lebih dikenali sebagai Kak Kay dalam bidang kaunseling tidak berlaku secara tiba-tiba tetapi ia merupakan gabungan minat memahami manusia dan pengalaman lebih sedekad dalam dunia korporat, latihan, konsultansi dan fotografi.

Akui Kak Kay, 43, pengalaman dalam komunikasi korporat banyak mengajar beliau tentang cara manusia berkomunikasi, menyampaikan mesej dan membina persepsi, manakala pengalaman dalam penyelidikan dan pembangunan melatihnya untuk mengkaji, menganalisis serta melihat pola di sebalik sesuatu perkara.

“Pengalaman dalam dunia fotografi atau pembangunan jenama pula membuka ruang untuk saya memahami satu lagi sisi manusia iaitu bagaimana seseorang melihat dirinya, membina keyakinan dan mempersembahkan identitinya kepada dunia.

“Berbekalkan pengalaman dan minat inilah saya mendalami bidang personaliti dan hubungan dengan lebih serius, sekali gus, menjadi titik tolak terbinanya pendekatan Kamalia Kamal Development Indicator (KKDI) pada 2018 iaitu satu pendekatan untuk membantu orang memahami karakter diri sendiri dan orang di sekeliling mereka,” kata kaunselor berdaftar itu kepada K-Wanita.

Menurutnya, sejak itu, beliau mengajar dan berkongsi secara khusus mengenai karakter, komunikasi, hubungan, personaliti, pembangunan diri dan emosi melalui kelas, seminar, penulisan serta sesi bersama klien dengan berpandukan KKDI.

Tambahnya, dari segi kaunseling, beliau banyak memberi fokus kepada wanita, pasangan suami isteri dan individu yang sedang berhadapan dengan isu hubungan atau konflik dalaman.

Terang wanita kelahiran Kuala Lumpur itu, KKDI adalah satu kerangka pemahaman karakter yang dibangunkan olehnya untuk membantu seseorang lebih mudah memahami dirinya sendiri dan orang di sekelilingnya, khususnya dari sudut cara berfikir, berkomunikasi, mengurus emosi dan membina hubungan.

“Konflik yang terjadi tidak kira antara suami isteri, ibu bapa dan anak, persahabatan ataupun tempat kerja bukan sebab seseorang itu jahat atau tidak memahami tetapi cara mereka memproses emosi, berkomunikasi serta melihat dunia dengan sudut pandang berbeza,” ungkapnya.

KAK KAY (tiga dari kiri) menjadi inspirasi kepada wanita-wanita lain.

Kamalia atau Kak Kay mempunyai latar pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Arizona, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kini, Kak Kay sedang meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Menurut Kak Kay, apabila dirinya lebih mendalami bidang kaunseling, dia mula melihat satu pola yang sangat jelas iaitu masalah dalam hubungan sebenarnya bukan kerana seseorang itu tidak baik tetapi dua orang yang sangat berbeza cuba berkomunikasi menggunakan ‘bahasa’ masing-masing.

Mengulas lanjut mengenai KKDI itu, Kak Kay memberitahu, beliau memperkenalkan enam karakter utama iaitu Eagle, Swan, Penguin, Mama Lion, White Wood Pigeon (WWP) dan Honeybee.

“Setiap karakter mempunyai kecenderungan, kekuatan, cabaran dan gaya komunikasi yang berbeza. Jadi, matlamat KKDI adalah untuk memberikan satu ‘bahasa’ yang lebih mudah supaya kita dapat memahami kenapa seseorang bertindak dengan cara tertentu dan bagaimana cara terbaik untuk berkomunikasi dengannya.

“Contohnya, ada orang yang apabila ada masalah mahu terus bercakap dan selesaikan pada waktu itu juga, manakala individu yang lain pula memilih berdiam diri dahulu untuk memproses emosi.

“Ada juga yang menunjukkan kasih sayang melalui tindakan tetapi pasangannya pula menunggu kata-kata. Kedua-duanya mungkin sayang tetapi kerana mereka menggunakan ‘bahasa’ yang berbeza dan masing-masing akhirnya rasa tidak difahami,” kata ibu kepada lima cahaya mata itu.

KAK KAY aktif dalam menulis buku dan e-buku.

Ujar Kak Kay, kadang-kadang satu kefahaman kecil tentang diri dan pasangan boleh menyelamatkan begitu banyak salah faham.

“Apabila seseorang sudah memahami karakter diri dan pasangannya, banyak perkara yang sebelum ini dianggap sebagai ‘perangai menyakitkan hati’ mula boleh dilihat daripada perspektif yang berbeza. Mereka mula faham bahawa ada perkara yang berpunca daripada perbezaan cara berfikir, keperluan emosi dan cara berkomunikasi.

“Hari ini, KKDI bukan sahaja digunakan dalam konteks pasangan atau rumah tangga. Saya turut membawanya ke dalam parenting, persahabatan, organisasi, tempat kerja, kepimpinan dan pembangunan diri.

“Bagi saya, objektif paling besar KKDI ialah sangat sederhana iaitu supaya manusia belajar memahami manusia sebelum menghukum manusia,” tuturnya yang merupakan Pengarah KKRI Sdn. Bhd., dan KKDI Global.

Kak Kay di samping suami dan anak-anak.

Selain aktif mengadakan seminar, bengkel perkongsian ilmu dan sesi kaunseling secara one-to-one, Kak Kay yang terkenal dengan perkongsian di dunia maya itu turut menghasilkan e-book dan buku.

“Saya mahu ilmu tentang hubungan, emosi, komunikasi dan personaliti sampai kepada lebih ramai orang, bukan hanya kepada mereka yang datang untuk sesi kaunseling atau menghadiri kelas.

“Saya sedar media sosial boleh menjadi satu bentuk pendidikan yang sangat dekat dengan masyarakat. Kadang-kadang seseorang tidak bersedia untuk berjumpa kaunselor tetapi dia sanggup menonton video satu minit yang membuatkan dia terfikir, ‘Oh, rupanya ini yang berlaku dalam diri aku,’ atau ‘patutlah pasangan aku macam ni.”

“Untuk buku pula, saya tidak menulis sekadar untuk menghasilkan sebuah buku, sebaliknya membantu memberi jawapan kepada setiap satu masalah tertentu,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Sepanjang bertugas sebagai kaunselor, Kak Kay tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran, antaranya perlu berhadapan dengan manusia yang datang bersama luka, emosi, sejarah hidup dan cara berfikir yang sangat berbeza.

“Kadang-kadang seseorang datang dengan masalah rumah tangga, konflik keluarga, kehilangan keyakinan diri, trauma emosi atau hubungan yang sudah terlalu lama dipendam.

“Sebagai kaunselor, kita perlu mendengar tanpa cepat menghukum, memahami konteks sebenar dan pada masa yang sama membantunya melihat pilihan yang mungkin selama ini dia tidak nampak,” katanya yang berpegang kepada prinsip hidup bahawa kualiti perhubungan menentukan kualiti hidup.

Kak Kay berkata, ada juga orang yang mengharapkan kaunselor untuk untuk terus memberikan jawapan, sedangkan tugas kaunselor bukan membuat keputusan bagi pihak mereka tetapi membantu mereka memahami diri, melihat situasi dengan lebih jelas dan membina keupayaan untuk membuat keputusan sendiri.

Walaupun begitu, Kak Kay berasa puas dapat membantu ramai orang dengan kepakaran dan ilmu yang dimiliki.

Baginya, bergelar kaunselor bukan tentang menjadi orang yang mempunyai semua jawapan tetapi menemani seseorang sehingga dia mampu menemukan jawapan dan kekuatan dalam dirinya sendiri.

“Antara momen yang paling menyentuh hati saya ialah apabila seseorang datang dalam keadaan yang sangat hilang arah, kemudian beberapa bulan selepas itu dia kembali dan berkata, ‘Kak Kay, saya dah okay. Sekarang saya dah faham diri saya’,” ceritanya yang mahu terus mengembangkan apa yang dibinanya sekarang, khususnya dalam bidang kaunseling, pembangunan manusia, hubungan dan KKDI.

Selain itu, besar harapan beliau untuk memperluas capaian KKDI Global supaya ilmu dan pendekatan yang dibangunkan tidak hanya digunakan di Malaysia tetapi boleh dibawa ke peringkat antarabangsa melalui program, latihan dan kolaborasi dengan pihak luar negara.

Sebelum menutup bicara, Kak Kay menitipkan pesan, kalau hari ini hidup terasa terlalu berat, jangan fikir terlalu jauh.

“Jalani satu hari pada satu masa. Kadang-kadang kita tidak perlukan jawapan untuk seluruh kehidupan. Kita cuma perlu cukup kekuatan untuk melalui hari ini.

“Kita mungkin tidak boleh kawal apa yang berlaku kepada kita, tetapi kita masih boleh belajar kawal bagaimana kita beri respons terhadap apa yang berlaku.

“Mental menjadi kuat apabila kita melalui sesuatu dengan kesedaran, mengambil pengajaran dan tahu bila perlu bangun semula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di