ARSENAL gagal mempertahankan rekod kemenangan bersih tujuh perlawanan apabila menanggung kekalahan berdepan Brighton kelmarin. - AFP

EPL: Arteta akui sudah jangka nasib Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BRIGHTON – Rekod cemerlang Arsenal dalam tujuh perlawanan musim ini untuk semua pertandingan akhirnya tercalar apabila mereka menanggung kekalahan pada aksi kelapan kelmarin.

Arsenal yang turun dengan reputasi cemerlang berdepan aib apabila tewas 0-3 kepada Brighton pada aksi di Stadium Amex sekali gus menjadi kekalahan terbesar pertama pasukan itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak tiga musim lalu.

Pengendalinya, Mikel Arteta terpaksa mengakui bahawa mereka menerima pengajaran cukup besar, malah mengakui beliau sudah menyedari mereka bakal berdepan hari yang sukar seawal minit pertama.

“Saya amat kecewa. Ini merupakan satu pengajaran besar buat kami dan Brighton memang layak untuk menang. Kami perlu mengucapkan tahniah kepada mereka atas kemenangan itu.

“Terdapat beberapa perkara asas yang perlu dilakukan dalam bola sepak terutama dalam Liga Perdana Inggeris, tetapi kami sangat jauh daripada tahap yang sepatutnya.

“Ia melibatkan jumlah kesilapan teknikal yang kami lakukan, sementara kami juga tidak menghormati mana-mana prinsip permainan yang sepatutnya kami lakukan,” katanya

Arsenal sebelum ini telah memenangi kesemua tujuh perlawanan mereka musim ini bermula aksi Perisai Komuniti dan hanya melepaskan satu gol sebelum aksi mengecewakan kelmarin.

Keputusan tewas 0-3 itu merupakan kekalahan terbesar The Gunners sejak mereka tewas di laman sendiri juga ketika menentang Brighton yang dikemudi oleh Roberto De Zerbi pada Mei 2023.

“Sejak lontaran ke dalam yang pertama, saya boleh merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan permainan kami . Ia sangat jelas. Kami meletakkan diri kami dalam keadaan sukar sekali, dua kali, tiga kali.

“Itulah antara pengajaran terbesar yang perlu kami ambil daripada perlawanan ini. Bagaimanapun, kami tahu apa yang diperlukan untuk memenangi perlawanan selepas ini dan kami tahu apa yang diperlukan untuk menewaskan Leeds selepas cuti rehat antarabangsa nanti,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN