ROBOT dinamakan NAMUH yang dilancarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini mampu memantau kesejahteraan diri dan persekitaran.

Robot AI jadi ‘doktor’ di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMBANGUNAN pesat dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI) pada masa kini telah membuka lembaran baharu terhadap konsep penjagaan kesihatan.

Kemunculan peranti pintar yang mampu memantau keadaan fizikal dari rumah bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah turut memudahkan pengguna memantau tahap kesihatan secara lebih praktikal dan berterusan.

Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat, kini wujud NAMUH iaitu robot automasi dikuasakan dengan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk membantu pengguna memantau aspek kesejahteraan diri dan keadaan persekitaran dalam ruang kediaman serta tempat kerja.

Diperkenalkan sebagai antara perintis dalam teknologi robotik kesejahteraan, robot tersebut menggabungkan fungsi pemantauan kesejahteraan dan penjagaan alam sekitar dalam satu peranti.

Kemampuan bergerak secara automasi membolehkan mengesan perubahan keadaan persekitaran sebelum memberikan tindak balas yang bersesuaian.

Dalam menghadapi isu jerebu yang masih menjadi kebimbangan, NAMUH turut menawarkan pendekatan mudah untuk membantu meningkatkan kualiti udara dalaman dengan menggunakan pendekatan pintar dipanggil Air Solution.

Memiliki ketinggian sekitar 91 sentimeter, robot berkenaan mampu meliputi ruang sehingga 2,000 kaki persegi dan bergerak secara bebas ke kawasan berbeza bagi mengesan perubahan kualiti udara.

Menurut Pengarah Urusan SK intellix Malaysia, Andy Kim Ja Joong, pengguna sebelum ini lazimnya bergantung kepada peranti berasingan bagi menguruskan kualiti udara dan mendapatkan maklumat berkaitan kesejahteraan.

“Peranti akan disambungkan dengan NAMUH X Air Sensor yang diletakkan di ruang strategik sekali gus bertindak memantau enam jenis pencemaran udara utama termasuk habuk halus jerebu, karbon dioksida, suhu dan kelembapan secara masa nyata.

“NAMUH menggabungkan pengalaman ini dalam satu peranti sekali gus memperkenalkan pendekatan baharu terhadap kesejahteraan menerusi teknologi robotik.

“Kami turut menjadikan NAMUH dikawal sepenuhnya menerusi suara kerana percaya teknologi seharusnya bersifat semula jadi dan berorientasikan manusia, selain dapat disepadukan dengan mudah dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui dalam acara pelancarannya oleh SK intellix Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain penjagaan kualiti udara, robot ini juga direka sebagai sebahagian daripada kehidupan harian pengguna menerusi ciri Live View secara masa nyata.

Fungsi ini membolehkan pengguna memantau keadaan di rumah atau tempat kerja dari jarak jauh menerusi penstriman video secara langsung, audio dua hala dan rakaman video.

Menerusi ciri berkenaan, pengguna boleh memeriksa keadaan anak-anak, haiwan peliharaan atau ruang kerja ketika berada di luar sementara fungsi Follow Me membolehkan robot berkenaan bergerak mengikut pengguna atau diarahkan ke lokasi tertentu bagi melakukan penulenan udara serta pemantauan kesejahteraan di kawasan berkenaan.

Turut dilengkapi teknologi Large Language Model (LLM), pengguna boleh berkomunikasi dengan robot menerusi arahan suara dan memahami pertanyaan termasuk memberikan maklumat berkaitan apabila diperlukan.

“Hanya dengan menggunakan suara saja sudah dapat menggerakkan robot ke lokasi yang diperlukan atau pertanyaan tentang sebarang persoalan tanpa perlu menaip.

“Keupayaan ini disokong menerusi aplikasi mudah alih NAMUH yang membolehkan pengguna kekal berhubung dengan peranti walaupun berada jauh dari kediaman,” katanya.

Antara ciri utama robot tersebut ialah melakukan pemeriksaan tanda vital secara imbasan kesihatan apabila skrin bersama modul kamera digunakan untuk mengimbas wajah.

Dalam tempoh sekitar 10 saat, keputusan seperti kadar nadi, suhu badan, indeks stres dan kadar oksigen dalam darah dipaparkan secara langsung.

Kemampuan tersebut secara tidak langsung menjadi fungsi tambahan terhadap penjagaan kesejahteraan diri dalam kehidupan seharian tanpa memerlukan sentuhan fizikal yang membolehkan pengguna mendapatkan rawatan bersesuaian segera.

Ringkasnya, kehadiran robot yang dikuasakan AI seperti NAMUH bukan sahaja membantu memudahkan tugasan harian, malah berpotensi meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan sekali gus mengubah cara manusia berinteraksi dengan teknologi pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN