SKUAD negara terpaksa berpuas hati meraih perak dalam acara regu apabila tewas kepada Thailand semalam. - FB MAJLIS SUKAN NEGARA

Sukan Asia: Sudah cuba segala cara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGALA cara sudah dicuba, namun rezeki bagaikan tidak berpihak kepada skuad takraw negara apabila terpaksa berpuas hati sekadar meraih pingat perak pada aksi final antara regu Sukan Asia 2026 kali ini.

Tekong negara, Syahir Rosdi mengakui bahawa dia bersama Azlan Alias dan Aidil Aiman Azwawi telah berhempas pulas untuk mengimbangi aksi yang dipamerkan oleh trio Thailand, Kritsanapong Nontakote, Wuttinun Kamsanor dan Tanaphon Sapyen, namun kecundang 15-9, 15-8.

Syahir tidak mahu mencari alasan, tetapi terpaksa mengakui kekuatan mental yang dipamerkan oleh Thailand serta beberapa perkara kecil menyebabkan mereka berdepan kakalahan tersebut.

“Kami sebagai satu pasukan, kami sudah buat sehabis baik dan ada benda-benda kecil yang kami kena beri perhatian.

“Dari segi psikologi saya tengok Thailand memang betul-betul mahu menang hari ini dan kami cuba sehabis baik, sudah cuba macam-macam. Tetapi, hari ini rezeki Thailand,” katanya.

Sebagai rekod, emas terakhir Malaysia dalam acara regu hadir pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 iaitu edisi yang menyaksikan Thailand tidak menyertai acara tersebut.

Bagaimanapun, Syahir tetap berpuas hati apabila berjaya menukar warna pingat pada edisi kali ini biarpun gagal untuk menyempurnakan misi membawa pulang dua pingat emas.

“Alhamdulillah, bagi saya ini satu pencapaian yang agak baik untuk Sukan Asia ini sebab sebelum ini memang dua perak, memang tidak pernah tukar warna.

“Untuk Sukan Asia kali ini kami berjaya tukar warna, satu emas. Itu pun antara pencapaian terbaik dalam karier saya,” katanya.

Emas tersebut hadir menerusi acara regu berpasukan Jumaat lalu yang menamatkan penantian 36 tahun Malaysia sejak kali terakhir muncul juara pada edisi Beijing 1990, sekali gus memperbaiki pencapaian dua pingat perak dalam penampilan terdahulu Syahir di temasya berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di