Zulkifli

RCI TH: Kerajaan jamin tegas, siasat ke lubang cacing – Zulkifli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan memberi jaminan akan memastikan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan, berkata, langkah ini penting demi memelihara amanah jutaan pendeposit serta mempertahankan kesucian harta umat Islam.

“Sebagai institusi Parlimen berwibawa, saya hormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Kerajaan Madani sedia memberi kerjasama penuh sekiranya diperlukan.

“Namun, fokus utama buat masa ini adalah memastikan tindakan susulan terhadap Laporan RCI Tabung Haji diselesaikan secara tegas dan menyeluruh,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Tegas beliau, keanggotaan RCI Tabung Haji yang dibentuk oleh enam tokoh berwibawa tinggi diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Julai 2021.

“Keanggotaan tersebut merangkumi pakar kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, syariah dan audit.

“Gabungan kepakaran ini memastikan setiap siasatan dan cadangan tindakan dibuat secara bebas, profesional, adil serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan berkenaan disokong oleh titah perkenan Seri Paduka Baginda ketika itu berserta ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 8 Ogos lalu yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat hingga ke ‘lubang cacing’.

“Desakan berterusan sejak 2019 oleh pelbagai pihak membuktikan bahawa pengurusan simpanan umat ini menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

“Kerajaan Madani berikrar akan menggalas amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa gerun kepada Allah dan memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di