Antara gambar kenangan yang dimuat naik Hishammuddin bersama Allahyarham Siti Hasmah di Facebook hari ini.

Hishammuddin kenang Hasmah seperti bonda sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Beliau ibarat bonda saya sendiri.”

Demikian luahan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika menzahirkan ucapan takziah susulan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Hishammuddin berkata, pemergian Allahyarhamah bukan sahaja dirasai oleh keluarganya, malah turut dirasai seluruh negara.

“Tidak terungkap dengan kata-kata. Bukan sahaja saya sekeluarga, malah negara turut berdukacita dengan kepulangan Tun Dr Hasmah Mohamad Ali ke Rahmatullah.

“Ia sungguh menyedihkan. Betapa dekatnya Almarhumah di hati,” katanya.

Menurut Hishammuddin, beliau sekeluarga sentiasa mengagumi serta terhutang budi atas pengorbanan Allahyarhamah, termasuk dalam “meminjamkan” suami tercinta, Tun Dr Mahathir Mohamad, demi kepentingan negara.

Katanya, terlalu banyak kenangan peribadi bersama Allahyarhamah yang akan sentiasa dikenang dan dihargai.

“Buat seluruh ahli keluarga, salam takziah yang sedalamnya dari saya sekeluarga. Semoga diberi kekuatan dalam mendepani ujian sukar ini.

“Dan semoga roh Almarhumah sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT,” katanya.

Hishammuddin turut mengakhiri hantaran itu dengan ucapan Al-Fatihah.

Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di