KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap parti itu terus membina momentum secara konsisten bagi memperkukuh kekuatan serta meraih sokongan rakyat terhadap perjuangannya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kesinambungan gerak kerja serta pengukuhan organisasi di semua peringkat amat penting bagi memastikan UMNO kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap politik semasa.
“Alhamdulillah, mudah-mudahan sempena ulang tahun UMNO ke-81 dan seterusnya, kita dapat mewujudkan momentum secara berperingkat.
“Dalam tempoh 20 tahun akan datang, insya-Allah kita akan menyambut ulang tahun ke-100 UMNO,” katanya pada Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Menurutnya, kepimpinan parti pada masa depan perlu meneruskan kesinambungan program sedia ada bagi memastikan sambutan ulang tahun ke-100 UMNO kelak diraikan dengan lebih bermakna.
“Siapa pun yang menjadi Presiden UMNO selepas saya, ia adalah satu mandat untuk meneruskan program-program yang ada supaya apabila tiba ulang tahun UMNO ke-100, kita akan meraikannya dengan kemuncak yang lebih bermakna,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyambut baik peningkatan permohonan keahlian baharu khususnya dalam kalangan generasi muda yang disifatkan sebagai petanda positif terhadap masa depan parti.
Katanya, kemasukan golongan itu mencerminkan wujudnya gelombang sokongan baharu yang perlu diperkukuh oleh seluruh sayap parti.
“Ketika masuk tadi saya melihat ramai permohonan baharu untuk menjadi ahli UMNO dalam kalangan generasi muda. Ini adalah satu fenomena dan gelombang yang harus kita teruskan.
“Insya-Allah, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, hasil usaha Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri, rakyat akan kembali menyokong kita,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad; Penolong Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar; Bendahari Wanita UMNO, Datuk Maizatul Akmam Alawi serta kepimpinan lain.-KOSMO! ONLINE.














