Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang dijumpai dengan beberapa kesan tikaman pada badan di Kampung Simah, Ketereh dekat Kota Bharu tengah malam tadi. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Wanita ditikam 61 kali di Ketereh pakai rantai nama ‘Syaa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang wanita yang dibunuh sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini tengah malam tadi dipercayai mati akibat ditikam sebanyak 61 kali.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati, ada sebanyak 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.

Menurutnya, mangsa juga memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘Syaa’, seutas rantai tangan pada pergelangan tangan kiri dan sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.

“Wanita itu turut berpakaian baju lengan panjang warna hitam saiz XL dan seluar panjang hitam tanpa jenama saiz XXL.

“Pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai beberapa barangan lain antaranya seutas manik berwarna-warni, cermin mata dan sehelai selendang,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mangsa.

Menurutnya, Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan bagi tujuan pengesanan di sekitar lokasi dalam radius kira-kira 30 meter.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai telah dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut.

“Tempat kejadian merupakan kawasan sawah padi yang gelap tanpa pencahayaan lampu jalan dengan jarak kira-kira 47 meter dari rumah penduduk terdekat,” ujarnya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat.

Menurutnya, identiti wanita itu berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di