EMPAT nyawa terkorban dalam kemalangan ngeri membabitkan 11 kenderaan di Kilometer (KM) 110.4 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), arah Lanchang menghala Kuantan, Pahang pada Isnin malam.
Dalam insiden itu juga, empat individu turut mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.44 malam.
Menurutnya, kemalangan tersebut membabitkan sembilan buah kereta, sebuah bas dan lori tanker.

Keadaan beberapa kenderaan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di LPT1.
Kereta terlibat ialah Proton Saga (2), Perodua Myvi (2), Proton S70, Honda CRV, Toyota Alphard, Toyota Hilux dan Perodua Aruz.
"Tiga mangsa maut dalam Proton S70 ialah pemandu, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, penumpang, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta seorang kanak-kanak.
"Seorang lagi mangsa ialah Seow Beng Wain, 55 dari Shah Alam, Selangor yang berada dalam Honda CRV," katanya dalam kenyataan pada awal pagi Selasa.
Salahuddin berkata, empat lagi mangsa mengalami kecederaan, termasuk dua lelaki yang tersepit dalam lori tangki dan Honda CRV.

Pasukan penyelamat menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
Selain itu, seorang wanita yang menaiki Toyota Hilux serta seorang lelaki dalam Proton Saga turut cedera, namun mengalami kecederaan ringan.
"Seramai 30 penumpang bas ekspres dilaporkan selamat, selain mangsa dalam Toyota Alphard, Perodua Aruz, dua Perodua Myvi dan sebuah Proton Saga.
"Sebahagian mangsa dalam Toyota Hilux turut dilaporkan selamat," katanya.
Sepasukan terdiri daripada lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab dan dua jentera tiba di lokasi pada pukul 11.24 malam, 40 minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan dua lelaki tersepit dalam Honda CRV dan lori tanker sebelum mangsa cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


