#Malaysia100 warisan kita kepada anak bangsa

HANYA tinggal 31 tahun sahaja lagi sebelum Malaysia menyambut ulang tahun ke-100 kemerdekaan pada 2057.
Tiga dekad mungkin kedengaran tempoh yang panjang, tetapi hakikatnya tempoh itu hanya melibatkan satu generasi.
Persoalannya, Malaysia yang bagaimana mahu kita wariskan kepada mereka?
Inilah persoalan besar yang perlu direnungkan menerusi kempen #Malaysia100 yang diasaskan Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Datuk Hussamuddin Yaacub sempena Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di seluruh negara pada Ahad.
#Malaysia100 bukan sekadar tanda pagar untuk menghiasi media sosial. Ia sepatutnya menjadi cermin kepada kita semua tentang arah yang sedang kita bawa negara ini.
Kita boleh membina bangunan pencakar langit, melahirkan teknologi tercanggih dan mengejar pertumbuhan ekonomi setinggi mungkin. Namun, semua itu tidak banyak ertinya jika masyarakat semakin berpecah, rasuah dinormalisasikan, amanah dipermainkan dan ketidakadilan dibiarkan.
Perbezaan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk bermusuhan. Politik pula jangan sampai menjadikan rakyat musuh sesama sendiri.
Masa depan Malaysia bukan hanya tanggungjawab Putrajaya semata-mata. Ia bermula di rumah.
Cara ibu bapa mendidik anak menghormati orang lain, cara guru membentuk pemikiran generasi muda, cara pemimpin menjaga amanah dan cara rakyat bertindak ketika melihat ketidakadilan — semuanya sedang menulis sejarah Malaysia 2057.
Oleh sebab itu, kita perlu melihat nilai integriti dan ihsan sebagai 'baton' yang mesti diserahkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Jangan sampai kita menyerahkan sebuah negara yang gah pada rupa tetapi reput pada akarnya.
#Malaysia100 seharusnya menjadi janji bersama bahawa kemajuan tidak hanya diukur melalui bangunan, ekonomi dan teknologi, tetapi juga melalui akhlak, integriti, perpaduan dan keadilan.
Gunalah tempoh setahun bermula hari ini sehingga 31 Ogos 2027 untuk memberikan idea bernas membangunkan negara tercinta melalui kempen #Malaysia100 ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
