‘Anak sempat beritahu rakan' - Muhammad Anas maut terkena renjatan elektrik ketika bermain futsal

KUALA SELANGOR – “Arwah sempat memberitahu kawannya dia terkena renjatan elektrik sebelum terduduk dan rakannya menyambutnya.”
Itu maklumat yang diterima Norramin Senin, 49, daripada rakan anaknya, Allahyarham Muhammad Anas Muazmim, 15, yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain futsal di Bestari Jaya di sini pada malam Isnin.
Menurut Norramin, Muhammad Anas dipercayai terkena renjatan elektrik selepas memegang bahagian tiang di gelanggang berkenaan sebelum terduduk dan disambut rakannya.

“Saya sendiri tidak tahu keadaan pendawaian di situ sebelum ini kerana kawasan itu bebas digunakan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanjong Karang di sini pada Selasa.
Norramin berkata, dia menerima panggilan daripada anak sulungnya yang memaklumkan Muhammad Anas pengsan ketika bermain futsal.
“Saya terus pergi ke lokasi kejadian, namun sebaik tiba, saya nampak anak sudah didudukkan dan tidak bergerak.
“Arwah sudah tidak sedarkan diri ketika saya sampai, malah matanya pun sudah tertutup dan pernafasan juga tidak ada.
“Saya minta rakannya membaringkan arwah dan seorang rakan saya yang bekerja di klinik cuba memberikan bantuan termasuk melakukan CPR,” katanya.

Menurutnya, usaha menyelamatkan Muhammad Anas dilakukan sementara menunggu ambulans tiba sebelum remaja itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang.
“Doktor cuba beberapa kali tetapi tiada tindak balas. Masa itu, perasaan saya memang sedih melihat keadaannya ketika itu,” katanya.
Norramin berkata, anaknya tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan sebelum ini dan aktif dalam kegiatan sukan termasuk bermain futsal serta bola baling di sekolah.
“Dia anak yang paling besar dan tinggi antara adik-beradiknya. Arwah memang aktif bersukan dan hampir setiap hari keluar bermain futsal dengan kawan-kawan.
“Tak sangka malam tadi dia keluar seperti biasa, tetapi akhirnya kami kehilangannya untuk selamanya,” ujarnya.
Lebih memilukan, Norramin berkata, nasi goreng yang dimasaknya sendiri menjadi hidangan terakhir yang sempat dinikmati bersama anaknya.
Katanya, Muhammad Anas makan bersama ahli keluarga kira-kira jam 8.15 malam sebelum keluar menunaikan solat Isyak bersama rakan di masjid berhampiran.
“Arwah memang biasa keluar selepas Isyak untuk bermain futsal bersama kawannya terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya.
Norramin berkata, walaupun mereka tidak banyak berbual sebagai bapa dan anak, Muhammad Anas sering menegurnya dan akan memaklumkan kepadanya setiap kali mahu keluar rumah.
“Saya dengan dia tidak banyak bercakap, tetapi dia yang selalu tegur saya.
“Kalau hendak keluar rumah, dia akan beritahu hendak pergi mana. Itu perkara biasa bagi kami,” katanya.
Dalam pada itu, Norramin berharap pihak berkaitan memeriksa aspek keselamatan gelanggang berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama menimpa pengguna lain.
Jenazah Muhammad Anas dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya selepas selesai proses bedah siasat, urusan mandi dan solat jenazah.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan, berkesempatan melawat keluarga mangsa di kediaman mereka di Taman Seri Indah sejurus selesai solat Subuh berjemaah di Masjid Al Awwabin Bestari Jaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

