Sasar Rohingya sebagai mangsa samun, 4 lelaki dicekup polis

JITRA - Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun yang dipercayai aktif menyasarkan etnik Rohingya di sekitar Kubang Pasu selepas menahan empat lelaki tempatan dalam operasi khas yang dijalankan di Kedah, Perlis dan Perak baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kejayaan itu susulan laporan polis yang diterima pada jam 1.30 pagi, 17 Ogos lalu daripada seorang lelaki warga Myanmar yang mendakwa disamun tiga lelaki bertopeng bersenjatakan pisau di sebuah rumah sewa di Kampung Kodiang Lama.
Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, mangsa telah diugut dan dipaksa menyerahkan pelbagai barangan berharga termasuk dua rantai leher, cincin, loket, sepasang anting-anting, dua telefon bimbit, beg duit dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
"Mangsa berusia 28 tahun turut mengalami kecederaan pada tangan, kaki dan bahagian perut akibat serangan tersebut.
"Hasil risikan dan operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah, polis berjaya menahan empat suspek lelaki di tiga lokasi berbeza iaitu di Ipoh, Kodiang dan Kangar," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada Selasa.
Tambah beliau, polis turut merampas pelbagai barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan samun tersebut termasuk telefon bimbit, kad UNHCR, pakaian, topi keledar serta beberapa senjata seperti pisau lipat dan pisau kecil.
Mohd Radzi berkata, siasatan lanjut mendapati kumpulan berkenaan dipercayai menjadikan etnik Rohingya sebagai sasaran utama kerana golongan itu jarang tampil membuat laporan polis selepas menjadi mangsa jenayah.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek mendapati mereka dipercayai terlibat 13 kes samun di kawasan Kodiang, namun hanya satu atau dua laporan polis diterima setakat ini.
"Kita percaya ramai mangsa tidak tampil membuat laporan atas faktor takut, bimbang atau memikirkan keselamatan diri mereka pada masa hadapan.
"Daripada pengakuan suspek sendiri, terdapat kira-kira 13 kejadian samun yang dipercayai dilakukan mereka, namun bilangan laporan polis yang diterima sangat sedikit," ujarnya.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan tersebut adalah menyasarkan rumah yang didiami warga asing selain menyerang mangsa yang bersendirian di tepi jalan sebelum melarikan barang berharga milik mereka.
Sehubungan itu, polis menggesa mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa kumpulan terbabit supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, Mohd Radzi menegaskan semua individu yang berada di negara ini dilindungi undang-undang tanpa mengira status kewarganegaraan.
"Jangan jadikan warga asing sebagai 'soft target'. Sesiapa yang melakukan jenayah terhadap mereka akan dikenakan tindakan yang sama seperti kesalahan terhadap rakyat tempatan.
"Undang-undang negara ini terpakai kepada semua. Jika seseorang menjadi mangsa jenayah dan membuat laporan polis, siasatan akan dijalankan secara adil serta saksama," katanya.
Keempat-empat suspek berusia 22 hingga 37 tahun direman sehingga Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

