PETALING JAYA: Jutaan rakyat Malaysia meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di seluruh negara semalam dengan meriah, menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air.
Sambutan itu yang mengangkat tema, ‘Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati’, turut mengukuhkan lagi perpaduan rakyat berbilang kaum di sebalik pelbagai isu geopolitik yang berlaku ketika ini.
Sambutan di seluruh negara berlangsung meriah sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ‘hadiah’ Hari Kebangsaan kelmarin iaitu enam ikhtiar segera kerajaan termasuk mengembalikan kelayakan asas Budi
Madani RON95 kepada 300 liter sebulan, bagi membantu rakyat mendepani tekanan hidup seharian.
Di PUTRAJAYA, lebih 100,000 pengunjung ‘berkampung’ sejak tengah malam di Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan.
Sambutan dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agung, Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka turut berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum acara sambutan dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan tembakan meriam sebanyak 14 das.
Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara dipimpin oleh Timbalan Pesuruhjaya Bomba, Datuk Abdul Razak Muda disertai 69 wira merah daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Turut hadir, Perdana Menteri dan isteri; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Jemaah Menteri.
Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyertai lebih 50,000 rakyat pelbagai kaum meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri di hadapan Dewan Bandaran.
Keberangkatan baginda berdua diiringi dua anakanda iaitu Raja Kechil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.
Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang diiringi Platun Brassband KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.
Di SEREMBAN, lebih 30,000 hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Sambutan disertai lebih 4,000 peserta membabitkan 82 kontinjen terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institusi pengajian tinggi serta syarikat swasta.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat ke sambutan berkenaan. Keberangkatan tiba baginda diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani
Almarhum Tengku Besar Mahmud dan disambut Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim.
Di ALOR SETAR, kira-kira 40,000 masyarakat pelbagai lapisan dan kaum membanjiri Dataran Medan Bandar bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Kedah.
Sambutan yang berlangsung penuh meriah itu disertai lebih 3,000 peserta daripada 96 kontinjen membabitkan jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke sambutan berkenaan yang turut dihadiri Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali.
Di KUALA TERENGGANU, kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri sepanjang laluan perarakan bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Dataran Shahbandar.
Seawal pagi, orang ramai mula beratur di sepanjang laluan perarakan bagi menyaksikan acara yang disertai kira-kira 3,500 peserta daripada 119 kontinjen.
Kontinjen yang mengambil bahagian terdiri daripada jabatan persekutuan dan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, sekolah menengah serta badan berkanun dari seluruh negeri.
Turut mencuri perhatian ialah penyertaan 20 motosikal klasik daripada Kelab Honda Klasik Kuala Terengganu yang diketuai Muhammad Syafiq Suresh. Deruman motosikal klasik berkenaan menjadi antara tarikan pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan bertemakan ‘Malaysia MADANI, Kesejahteraan Dinikmati’.
Di JOHOR BAHRU, kira-kira 5,000 peserta menyemarakkan sambutan Perarakan dan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat Daerah Johor Bahru yang berlangsung meriah di Dataran Bandaraya.
Perarakan melibatkan 49 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan, pihak swasta, badan berkanun, pasukan pancaragam, pasukan beruniform, pelajar dan sukarelawan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan serta patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Turut mengambil bahagian ialah 15 kontinjen berkenderaan membabitkan agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). – UTUSAN










