DAKAR: Presiden Senegal, Bassirou Diomaye Faye melancarkan parti baharu pada Sabtu yang dinamakan Kiiraay, selepas perselisihan faham dengan bekas mentornya dan bekas perdana menteri, Ousmane Sonko.
Sonko mengetuai parti berhaluan Pan-Afrika Pastef, yang sebelum ini menjadi wadah politik yang sama disertai oleh kedua-dua pemimpin itu dan berjaya membawa Faye ke tampuk pemerintahan pada 2024.
Faye melantik Sonko sebagai perdana menteri sejurus selepas memegang jawatan presiden.
Namun hubungan antara mereka akhirnya menjadi renggang dan kemuncaknya berlaku apabila Sonko dipecat pada Mei lalu.
Faye memperkenalkan parti baharu Kiiraay, yang namanya dalam bahasa Wolof bermaksud perlindungan atau perisai, dalam satu perhimpunan besar penyokong di Dakar.
Ratusan penyokong yang tidak dapat masuk ke dalam dewan persidangan hotel menunggu di luar dalam cuaca panas terik.
Mereka turut membawa sepanduk dan memakai selendang hiasan bertulis ‘Vive Diomaye’ yang bermaksud ‘Hidup Diomaye’.
Ketika mengumumkan penubuhan parti baharu itu, Faye berkata, parti tersebut dibina berasaskan prinsip republik, etika, ketelusan, persaudaraan dan kerja keras.
Sonko hampir pasti akan menjadi presiden sekiranya beliau tidak dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya presiden Senegal 2024 akibat sabitan kes fitnah.
Hubungan kedua-dua pemimpin itu mula retak berikutan perbezaan pendapat mengenai cara Senegal harus menangani hutang awam yang besar dan beberapa isu dasar lain. – AFP










