‘Rasa macam muda semula’ – Sanusi sertai legenda Kedah 1993

MUHAMMAD Sanusi Md Nor beraksi bersama barisan legenda Kedah era 90-an dalam aksi menentang Singapura pada perlawanan Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 di Stadium Langkawi, semalam. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan peluang beraksi bersama barisan legenda Kedah era 90-an dalam Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 sebagai pengalaman cukup bermakna dan menyeronokkan.

Beliau berkata, walaupun usianya kini mencecah 52 tahun berbanding 19 tahun ketika menyaksikan kejayaan pasukan Kedah 33 tahun lalu, semangat untuk turun ke padang masih membara.

“Semasa perlawanan ini berlangsung tahun 1993, saya berumur 19 tahun. Tentulah para pemain pun mengalami peningkatan usia macam saya juga. Tapi saya tengok pemain Singapura masih boleh bermain.

“Nampak mereka cergas, sementara pemain kita baru nak berkumpul semula, kebanyakan boleh buat kemunculan tetapi tidaklah secergas orang Singapura,” katanya selepas menyertai perlawanan yang menghimpunkan bekas pemain Kedah dan Singapura, malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menghargai inisiatif penganjur terutama Penaung Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PMBK), Datuk Zuraidi Rahim yang berjaya menghimpunkan semula barisan pemain yang pernah mengharumkan nama Kedah pada era itu.

“Sekurang-kurangnya orang muda kenal siapa pemain tahun 1993. Semua adalah legenda bola sepak yang pernah mengharumkan nama negeri pada satu masa dahulu. Saya harap mereka terus sihat dan dapat menjalani usia 50 hingga 60 tahun ini dalam keadaan sihat, lagi pun mereka semua adalah bekas atlet, jadi atlet ini kena jaga kesihatan,” katanya.

Menurutnya, bekas pemain berkenaan juga wajar dijadikan idola oleh generasi muda untuk menggalakkan mereka kembali aktif bersukan, khususnya bermain bola sepak di padang.

“Saya harap mereka jadi idola kepada anak-anak muda sekarang supaya bermain di padang. Janganlah main dalam bilik, main bola ini sebenarnya main di padang, bukan main di telefon bimbit. Itu bukan bola,” katanya.

Mengulas pengalamannya beraksi menentang pemain legenda Singapura, Muhammad Sanusi berseloroh beliau berasa seperti kembali muda, namun mengakui tidak mampu menandingi kecergasan pemain lawan.

“Saya rasa saya muda, cuma tak boleh ‘beat’ pertahanan Singapura sebab dia cergas dan tinggi tapi saya rasa teruja di usia yang sudah tua ini dapat main dengan mereka. Mereka pun tua juga, tetapi mereka ada ‘skill’ lagi,” katanya.

Beliau turut berseloroh bahawa sekiranya berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan itu, beliau juga layak digelar legenda.

“Kalau saya dapat jaringkan gol, tentunya menjadi legenda juga dalam perlawanan bersama para legenda di pulau legenda tapi perlawanan ini sebagai contoh bagaimana sukan mampu menjadi medan penyatuan tanpa mengira latar belakang atau perbezaan politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN