Malaysia B-19 curi mata berharga, Faez jadi tembok kebal

AKSI Skuad B-19 negara ketika menentang skuad B-19 Indonesia di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, Laos, petang ini. IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memulakan kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2027 dengan mengikat Indonesia tanpa jaringan dalam aksi pembukaan Kumpulan H di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, Laos, petang tadi.

Walaupun gagal meraih kemenangan, keputusan seri itu tetap memberi kelegaan kepada kem negara memandangkan Indonesia tampil lebih dominan sepanjang perlawanan dan beberapa kali hampir memecahkan kebuntuan.

Skuad kendalian Shukor Adan boleh menarik nafas lega selepas penjaga gol, Faez Iqhwan Muhamad Azmi mempamerkan aksi cemerlang untuk memastikan gawang negara tidak dibolosi dalam pertemuan yang berlangsung sengit itu.

Indonesia memulakan aksi dengan lebih meyakinkan apabila menguasai sebahagian besar permainan dan kerap mengasak benteng Malaysia.

Peluang terbaik mereka pada babak pertama hadir menerusi Arkhan Kaka Putra pada minit ke-18, namun percubaannya berjaya dipatahkan pertahanan negara.

Pasukan Garuda Muda terus melakukan serangan bertali arus dan kali ini menerusi Nazriel Alfaro dan Amar Brkic, namun ketumpulan penyudah serta disiplin pertahanan Malaysia menyebabkan kedudukan kekal terikat hingga tamat separuh masa pertama.

Selepas rehat, Malaysia cuba mengubah rentak permainan dengan melancarkan serangan lebih awal.

Tengku Hasyri Shah Meerza hampir menceriakan kem negara pada minit ke-47, namun rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol Indonesia, Dafa Al Gasemi Setiawarman.

Indonesia kemudian kembali menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya namun Faez Iqhwan terus menjadi penghalang utama apabila menafikan percubaan Rafi Rasyiq selain cemerlang dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-75.

Detik paling mencemaskan buat Malaysia hadir 12 minit sebelum tamat permainan apabila Irpan Abadi Siregar terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Indonesia di hadapan.

Tandukannya dari jarak dekat tersasar walaupun gawang negara sudah terbuka luas.

Keputusan seri itu sekurang-kurangnya memberikan suntikan keyakinan kepada skuad muda negara untuk mengharungi baki dua perlawanan yang dijangka lebih mencabar.

Malaysia akan berdepan Australia pada Khamis dalam aksi yang dilihat mampu menentukan peluang mereka untuk mara ke pusingan akhir, sebelum menamatkan kempen kelayakan menentang tuan rumah, Laos pada Ahad.

Hanya lapan juara kumpulan dan tujuh naib juara terbaik akan mengiringi tuan rumah China ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2027 yang dijadual berlangsung pada Mac tahun berkenaan.

Sebagai rekod, Malaysia gagal melayakkan diri ke edisi 2025 di China selepas menamatkan kempen kelayakan di tangga keempat kumpulan.

Kali terakhir skuad negara berjaya ke pusingan akhir adalah pada edisi 2020 di Uzbekistan, namun kejohanan tersebut dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah kejohanan itu adalah muncul naib juara sebanyak tiga kali, masing-masing pada tahun 1959, 1960 dan 1968.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN