Cabaran BMX tarikan baharu SUKMA

Atlet BMX wanita Selangor, Nia Nur Aidryana beraksi dalam acara BMX Park Wanita Akhir Sukan Malaysia (SUKMA), 2026 di IDCC, Shah Alam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun baru pertama kali dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, acara BMX mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta serta penonton yang hadir menyaksikan saingan di venue pertandingan.

Pengurus pasukan BMX Selangor, Ismathinoon Abdul Rahim berharap sambutan positif yang diterima sepanjang temasya itu berlangsung dapat menjadi asas agar acara tersebut terus dipertandingkan pada edisi SUKMA akan datang.

“Insya-Allah, harapan saya macam itu. Saya rasa apabila benda ini sudah menjadi satu acara yang penting, pada masa akan datang mungkin di Kelantan mereka akan kekalkan.

“Ini adalah platform yang boleh digunakan atlet untuk pergi lebih jauh. Kalau ini tidak ada, mereka tidak mempunyai platform untuk menunjukkan bakat mereka,” katanya.

Bagaimanapun, status BMX untuk disenaraikan dalam temasya SUKMA 2028 masih belum dapat dipastikan kerana keputusannya terletak di tangan Kelantan selaku penganjur.

Sementara itu, Pengurus Pertandingan Sukan Basikal SUKMA 2026, Mohd Yusof Abdul Nasir turut senada apabila mengakui berasa terkejut dengan bakat yang diketengahkan pada temasya dwitahunan itu.

“Perkara pertama yang saya khuatiri masa mula-mula nak pertandingkan BMX ini adalah penyertaan kerana dalam SUKMA, sekiranya tiada penyertaan, sukan ini akan dibatalkan.

“Tetapi saya bersyukur kerana agak terkejut apabila banyak negeri sebenarnya mempunyai bakat dan atlet baharu.

“Apa yang saya rasa selepas ini di Kelantan, mungkin ada perlumbaan BMX, ada acara Park dan Flatland. Semua acara sukan basikal ini dipertandingkan di Kelantan,” kata Yusof yang merupakan jurulatih berbasikal negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN