Haziq mahu kembali ke BAM selepas tuai emas SUKMA

Muhammad Haziq Mohd. Najib merangkul pingat emas selepas menewaskan pemain Negeri Sembilan, Ayu Fu Sheng dalam acara badminton perseorangan lelaki akhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Konvensyen Setia City, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kejayaan menamatkan kempen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan pingat emas membuka semula impian pemain badminton Selangor, Muhammad Haziq Mohd Najib untuk kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemain berusia 21 tahun itu mencipta kejutan apabila menewaskan wakil Negeri Sembilan yang juga pemain kebangsaan, Ayu Fu Sheng 2-1 dalam final perseorangan lelaki di Pusat Konvensyen Setia City, semalam.

Selepas tewas 12-21 pada set pertama, pemain berstatus bebas yang kini bernaung bersama Akademi Badminton New Vision (NVBA) itu bangkit memenangi set kedua 21-15 sebelum mengesahkan emas dengan kemenangan 21-15 pada set penentuan.

“Alhamdulillah hari ini dapat menang, dapat sumbang emas kepada Selangor, saya rasa banggalah, tetapi set kedua lawan angin agak susah sikit, jadi masa rubber set cuma dengar apa yang jurulatih cakap dan pegang mata yang sudah mendahului.

“Saya cuma masuk gelanggang tanpa fikir apa-apa, tak kira BAM atau apa, saya hanya main seperti yang jurulatih cakap dan itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas kejohanan di sini, semalam.

Lebih manis, kejayaan pada penampilan pertama dan terakhir SUKMA tersebut turut hadir selepas Haziq dikatakan mendapat perhatian seorang jurulatih yang menyaksikan aksinya dan memintanya hadir untuk sesi percubaan pada September ini.

Haziq yang pernah menjadi sebahagian daripada program junior BAM pada 2022 berkata, peluang itu mahu dimanfaatkannya sebaik mungkin selepas sebelum ini pernah menjalani sesi percubaan selama kira-kira dua minggu tahun lalu, namun tidak menerima perkembangan lanjut selepas itu.

“Sasaran saya mungkin nak masuk BAM, saya cuma nak fokus untuk banggakan negara, itu saja,” katanya.

Dalam saingan perseorangan wanita, wakil Melaka yang juga pemain kebangsaan, Siti Zulaikha Muhammad Azmi Tan meraih emas selepas menewaskan pemain Wilayah Persekutuan, Lee Kay Xin 21-12, 21-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN