PETALING JAYA: Sembilan emas, satu perak dan gelaran Olahragawan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 masih belum cukup memuaskan Cheah Zen Hong yang kini mengalihkan bidikan kepada impian jauh lebih besar, iaitu pentas Sukan Olimpik.
Penembak berusia 20 tahun itu menutup penampilan terakhirnya di SUKMA dengan pencapaian luar biasa termasuk memecahkan dua rekod temasya, namun enggan terlalu dibuai kejayaan apabila sedar cabaran sebenar dalam kariernya baru bermula.
Malah, Zen Hong melihat pengiktirafan sebagai atlet terbaik itu sebagai suntikan untuk meningkatkan lagi prestasinya selepas memperbaiki pencapaian tujuh emas yang diraih pada SUKMA Sarawak 2024.
“Olimpik itu satu impian yang sangat besar, jadi saya akan teruskan bekerja keras untuk mencapai impian itu.
“Selepas ini saya tahu akan ada lebih banyak cabaran yang saya akan hadapi dan saya kena lawan apa saja rintangan yang menunggu saya,” katanya.
Berakhirnya perjalanan di pentas SUKMA turut membuka lembaran baharu buat Zen Hong yang mahu meninggalkan status atlet remaja dan mula membuktikan kemampuannya dalam kelompok senior.
Atlet Program Pelapis itu kini menyasarkan untuk menembusi Program Podium kerana percaya langkah berkenaan mampu membuka lebih banyak peluang kepadanya mengumpul pengalaman di kejohanan antarabangsa dalam perjalanan menuju impian Olimpik.
“Saya sekarang berada dalam Program Pelapis dan bagi saya, gaji bukan perkara utama, saya cuma mahu buat yang terbaik dan kalau boleh naik Podium, maksudnya saya boleh dapat lebih banyak pendedahan dalam pertandingan luar.
“Sekarang fasa saya sebagai atlet remaja sudah tamat, jadi selepas ini saya kena lebih serius dan bersedia untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Untuk rekod, Zen Hong meraih sembilan emas menerusi acara 10 meter (m) air pistol, 10m air pistol berpasukan, 10m air pistol campuran, 25m rapid fire pistol, 25m sport pistol, 25m sport pistol berpasukan, 25m standard pistol berpasukan, 50m pistol dan 50m pistol berpasukan. – UTUSAN










