Banjir Nepal: Isteri anggota PASKUB tunggu kelulusan untuk masuk ke lokasi bencana

KUALA LUMPUR - Usaha gigih Hani Othman, isteri kepada anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) yang hilang dalam tragedi di Nepal, mengumpulkan barangan keperluan untuk mangsa bencana membuahkan hasil.
Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya hari ini, Hani memaklumkan beliau kini sedang menunggu kelulusan daripada pihak Kerajaan Nepal untuk memasuki kawasan bencana bagi mengagihkan bantuan berkenaan.
"Terima kasih (kepada) yang turut beri sumbangan. Dapat satu lori. Sekarang hanya tunggu kelulusan dari pihak kerajaan Nepal untuk lepaskan saya ke tempat bencana untuk agih bantuan," katanya menerusi hantaran itu.
Terdahulu, Hani turut memuat naik hantaran memaparkan dirinya sedang membeli barangan keperluan mangsa banjir dan berharap usaha yang dilakukan itu dapat memberikan petunjuk serta mempermudah urusannya mencari suami tercinta.
Sebelum ini, wanita itu menyuarakan hasrat untuk menyertai pasukan sukarelawan ke kawasan kem yang menempatkan mangsa terselamat, dengan harapan dapat bertemu suaminya, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, atau mesra disapa Loe, yang gagal dikesan susulan bencana banjir di Rasuwa.
Penyertaan dalam pasukan sukarelawan berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada syarat, iaitu perlu menyediakan barangan sumbangan terlebih dahulu sebelum dibenarkan dibawa ke tapak kem.
Bagi merealisasikan misi itu, Hani menyasarkan penyediaan 200 kit penyelamat yang dilengkapi barangan keperluan asas, termasuk tuala wanita, berus gigi, pakaian dalam, selipar, mi segera, pelbagai makanan sedia dimakan serta bank kuasa (power bank) solar.
Inisiatif pengumpulan barangan itu yang mendapat sokongan orang ramai, dihantar terus ke sebuah kolej di Maitidevi bagi tujuan pembungkusan.
Hani sebelum ini menerusi hantarannya, berharap usaha yang digerakkannya itu bukan sahaja dapat membantu penduduk tempatan, malah membuka jalan dan peluang kepadanya untuk menemui rakyat Malaysia yang berlindung di kawasan selamat.
Nasib Mohd Fakhrul Munir serta puluhan rakyat Malaysia lain yang menyertai ekspedisi di kawasan pergunungan itu masih menjadi tanda tanya berikutan kesukaran pasukan penyelamat memasuki lokasi bencana akibat laluan terputus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
