KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) kembali sebagai platform strategik bagi mempercepatkan pelaksanaan peralihan tenaga negara dengan menekankan hubungan sinergi antara tenaga dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut Ketua Pegawai Kanan Rangkaian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Mahathir Nor Ismail, salah satu fokus utama persidangan di bawah teras kandungan utama ‘Energy for AI’ adalah untuk memastikan sistem tenaga negara bersedia menyokong pertumbuhan ekonomi berteraskan AI.
��ETCon26 bukan sekadar medan perbincangan, tetapi platform untuk menyatukan dasar, pelaburan dan teknologi supaya tenaga dan AI dapat berfungsi secara sinergi ke arah peralihan tenaga yang lebih pantas dan mampan,” katanya.
“Konsep 'Energy for AI' menjadi antara fokus utama ETCon26, merujuk kepada keperluan tenaga elektrik yang semakin meningkat bagi menampung pertumbuhan ekosistem AI, termasuk pusat data, pengkomputeran dan pembuatan berteknologi tinggi,“ ujarnya.
Tambahnya lagi, pertumbuhan pusat data yang berkembang pesat memerlukan bekalan elektrik yang stabil, mampan dan berdaya harap.
“Dalam konteks ETCon26, ini menekankan keperluan untuk membina sistem tenaga yang lebih fleksibel, lebih pintar dan bersedia untuk menyokong pertumbuhan ekonomi masa depan,” katanya.
Ir. Mahathir berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh kesiapsiagaan melalui pembangunan grid pintar, digitalisasi serta pelaburan dalam tenaga boleh baharu.
“Di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR) bagi Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), sebanyak RM43 bilion diperuntukkan bagi memodenkan dan mengukuhkan rangkaian grid negara, selain pelaksanaan teknologi seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) untuk memastikan bekalan kekal stabil dan cekap,“ tambahnya.
Katanya, ETCon26 mensasarkan hasil yang lebih kukuh termasuk penjajaran dasar, pemacuan pelaburan strategik serta pelaksanaan teknologi tenaga bersih dan grid pintar.
“Matlamatnya jelas, memastikan pembangunan AI negara disokong oleh sistem tenaga yang berdaya tahan, efisien dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” jelasnya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Selasa.
ETCon26 tahun ini tampil dengan visi yang lebih berani menerusi tema “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition”, yang menekankan kepentingan hubungan dua hala antara sektor tenaga dan kecerdasan buatan (AI) dalam membentuk masa depan ekonomi dan kelestarian negara.
Tema ini disokong oleh tiga teras kandungan utama, iaitu 'Energy for AI', 'AI for Energy', serta 'Energy Transition for People', yang memberi fokus kepada keperluan bekalan tenaga bersih dan stabil bagi menyokong ekosistem AI, penggunaan AI untuk meningkatkan kecekapan sistem tenaga, serta memastikan peralihan tenaga memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Persidangan yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menghimpunkan penggubal dasar, pemain industri, utiliti tenaga dan pelabur bagi menyelaras dasar, pelaburan serta inovasi teknologi dalam satu ekosistem kolaboratif.
Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh didapati menerusi laman web rasmi the-etconference.com.