Skip to main content

Dunia

Aktivis GSF dibawa ke lapangan terbang di Crete untuk dihantar pulang

71760006349_GlobalSumudFlotill.jpg
Seramai 178 aktivis dari pelbagai negara, termasuk Greece, telah dibawa ke Kampung Atherinolakkos di Lasithi, timur Crete, dan dari sana mereka akan dibawa dengan bas ke Lapangan Terbang Heraklion. - Gambar fail

ATHENS: Aktivis daripada flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza yang diserang oleh Israel minggu ini, sedang dipindahkan ke sebuah lapangan terbang di Crete untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan pada Jumaat.

Seramai 178 aktivis dari pelbagai negara, termasuk Greece, telah dibawa ke Kampung Atherinolakkos di Lasithi, timur Crete, dan dari sana mereka akan dibawa dengan bas ke Lapangan Terbang Heraklion, lapor penyiar SKAI yang memetik sumber tempatan.

Advertisement

Dari lapangan terbang berkenaan, para aktivis berkenaan akan dihantar pulang ke negara masing-masing, katanya.

Flotila bantuan kemanusiaan Sumud Global telah diserang pada Khamis berhampiran pulau milik Greece itu, kira-kira 600 batu nautika dari destinasi mereka, wilayah Gaza yang musnah akibat sekatan.

Kumpulan kapal pertama flotila itu yang membawa bantuan kemanusiaan, belayar dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama berlepas dari Pulau Sicily, Itali pada 26 April, dengan matlamat untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza yang telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.

Tentera Israel melancarkan serangan kejam selama dua tahun ke atas Gaza pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain dan mengakibatkan kemusnahan besar-besaran di seluruh wilayah yang terkepung itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video