TACOMA: Enam individu, termasuk lima pelajar dan seorang pengawal keselamatan, cedera dalam satu kejadian tikaman di Foss High School, Washington, pada Khamis.
Polis Tacoma mengesahkan insiden yang berlaku kira-kira 1.35 tengah hari waktu tempatan (4.35 pagi Jumaat waktu Malaysia) itu berpunca daripada pergaduhan di dalam kawasan sekolah.
Advertisement
Suspek yang juga merupakan seorang pelajar telah ditahan dan kini berdepan lima pertuduhan, menurut pihak berkuasa.
Pihak bomba memaklumkan empat pelajar berada dalam keadaan kritikal, manakala pengawal keselamatan dan suspek mengalami kecederaan ringan.
Bagaimanapun, kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital.
Ekoran kejadian, sesi persekolahan serta aktiviti kokurikulum di Foss High School dibatalkan pada Jumaat bagi memberi ruang siasatan polis.
Sekolah berkenaan dijadual dibuka semula pada Isnin dengan kehadiran kaunselor bagi menyediakan sokongan emosi kepada pelajar dan kakitangan yang terkesan.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan serta jenis senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Insiden itu turut mengimbau kembali tragedi pada 2007, apabila seorang pelajar di sekolah yang sama maut selepas ditembak di dalam bangunan sekolah berkenaan.