JAKARTA: Indonesia memperkenalkan kawalan import yang lebih ketat ke atas beberapa komoditi pertanian di bawah peraturan baharu, bertujuan menyokong usaha sara diri makanan negara itu, menstabilkan bekalan domestik dan mengurangkan pergantungan kepada import.
Menteri Perdagangan Budi Santoso berkata dasar itu, yang dikeluarkan di bawah Peraturan Menteri Perdagangan No 11 Tahun 2026, telah diwartakan pada 24 April dan akan berkuat kuasa pada 8 Mei.
Advertisement
Beliau berkata, peraturan itu, iaitu pindaan kedua kepada Peraturan Menteri No 18 Tahun 2025, memperluaskan sekatan import untuk merangkumi makanan ternakan, tepung kacang soya, kacang hijau, kacang tanah, beras makanan ternakan dan pir.
Beliau berkata dengan perluasan skop itu, pengimport perlu mendapatkan kelulusan import (PI) daripada Kementerian Perdagangan berdasarkan cadangan teknikal daripada Kementerian Pertanian sebelum mengimport.
“Objektifnya adalah untuk memperincikan dasar import, mengekalkan keseimbangan antara penawaran dan permintaan domestik, melindungi harga pengeluar domestik, dan meningkatkan keselamatan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah Import Kementerian Perdagangan Andri Gilang Nugraha berkata langkah itu juga bertujuan meningkatkan pengeluaran petani dan membendung aliran masuk import yang berlebihan.
“Salah satu contohnya ialah kacang tanah dan kacang hijau. Minat yang semakin berkurangan dalam kalangan petani untuk mengusahakan komoditi ini sebahagiannya disebabkan oleh kemasukan import secara bebas, tanpa sekatan masa atau jumlah,” katanya.
Beliau menambah, di bawah peraturan baharu itu, import beras makanan ternakan mesti disokong oleh dokumen imbangan komoditi (NK), manakala import buah pir memerlukan bukti pemilikan kemudahan penyimpanan sejuk dan dokumen sokongan lain yang berkaitan dengan produk hortikultur.
-- BERNAMA