KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan serta memastikan kestabilan pasaran buruh negara.
Menurut beliau, pelaksanaan PACE merupakan sebahagian daripada strategi daya tahan ekonomi kerajaan bagi memperkasa tenaga kerja tempatan serta meningkatkan kebolehpasaran pekerja dalam berdepan cabaran ekonomi semasa.
Advertisement
“Ia merangkumi empat inisiatif utama dan dilaksanakan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, pada Jumaat.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan cadangan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi memperluas perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia–Singapura.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 480,000 pekerja yang mencari rezeki merentasi Tambak Johor.
“Secara purata, satu nyawa rakyat kita hilang setiap minggu atau 54 kematian setahun dalam kalangan pekerja rentas sempadan ini.
“Anak-anak kita bekerja di luar negara, bangun seawal 4 pagi menyeberang ke Singapura dan pulang lewat malam. Jadi, bagaimana harus kita memperluas perlindungan PERKESO kepada warganegara Malaysia di luar negara?
“Sebab itu kita akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan,” kata beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa PACE yang dilaksanakan melalui KESUMA merangkumi empat inisiatif utama, termasuk peranan PERKESO yang menyediakan peruntukan RM580 juta bagi pengukuhan jaringan keselamatan sosial menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
Peruntukan itu bertujuan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan serta meningkatkan kebolehgajian mereka.
“Dalam era kecerdasan buatan (AI), kita tidak boleh ketinggalan dalam pemerkasaan latihan dan penempatan kerja. Kita mesti memastikan golongan belia serta kumpulan rentan terus kompetitif dan produktif.
“Bagi tujuan ini, kerajaan melalui HRD Corp memperuntukkan RM100 juta di bawah program HRD Yakin MADANI, yang turut disokong oleh MyFutureJobs bagi memudah cara penempatan pekerjaan,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan turut menyalurkan RM20 juta kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) bagi latihan kemahiran pekerja gig, khususnya dalam kalangan pekerja e-hailing dan p-hailing, bertujuan mempelbagaikan kemahiran serta memperkukuh perlindungan keselamatan sosial kumpulan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan penyediaan RM10 juta menerusi TalentCorp bagi pembiayaan Geran Padanan Latihan Industri, untuk menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta syarikat pemula yang mengambil pelatih industri.