JEMPOL: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak kepada baginda.
Baginda menzahirkan penghargaan itu ketika berkenan berjumpa orang ramai di pekarangan Masjid Tuanku Muhriz di sini.
Advertisement
Terdahulu, Tuanku Muhriz serta dua anakanda baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin bersama dengan kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat hajat di masjid berkenaan.
Selesai solat, baginda berkenan menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak dan menghadiri majlis santapan sebelum menerima memorandum daripada Presiden Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profansi) Muhamad Kamel Yassin.
"Terima kasih," titah baginda ringkas kepada kumpulan penyokong yang berkumpul di pekarangan masjid berkenaan sebelum berangkat pulang.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Sokongan Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berkata sebanyak 12 badan bukan kerajaan (NGO) hadir di pekarangan masjid berkenaan sebagai tanda sokongan dan taat setia kepada Tuanku Muhriz.
“Semangat yang ditunjukkan membuktikan bahawa kami sentiasa bersama Tuanku dan negeri ini. Kehadiran 12 NGO hari ini juga merupakan satu inisiatif yang baik dalam menzahirkan sokongan,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau juga berharap sebarang kemelut yang berlaku dapat diselesaikan secara berhemah bagi memastikan keharmonian negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Sejak semalam, beberapa NGO tampil memberikan sokongan dan taat setia kepada Tuanku Muhriz menerusi penyerahan memorandum susulan perkembangan terbaharu berkaitan kemelut pemerintahan di Negeri Sembilan.
-- BERNAMA