Skip to main content

Politik

Kemelut DUN Negeri Sembilan: Status MB perlu dibawa ke meja perundingan - Zahid Hamidi

 Zahid Hamidi, UMNO. Kredit: Waffy Noor Azmi/Astro AWANI
Ahmad Zahid selepas ditemui pada Forum ‘Mydigital ID: Powering Trusted Digital Access Across Malaysia’s Digital Ecosystem’, di sini pada Khamis. - Foto astro AWANI

PUTRAJAYA: Status Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan akan dibawa ke meja perundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang isu berkaitan pentadbiran negeri termasuk kedudukan Menteri Besar akan dibincangkan secara bersama berdasarkan perjanjian melibatkan 18 perkara yang dimeterai antara kedua-dua gabungan.

Advertisement

“BN dan PH mempunyai perjanjian yang kita panggil sebagai perjanjian 18 perkara. Jika ada ‘dispute resolution’ atau permasalahan, maka kita kembali ke meja perbincangan untuk mencari penyelesaian secara bersama,” katanya selepas ditemui pada Forum ‘Mydigital ID: Powering Trusted Digital Access Across Malaysia’s Digital Ecosystem’, di sini pada Khamis.

Beliau turut menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH bersikap terbuka dalam mencari penyelesaian sekiranya terdapat sebarang isu berbangkit antara parti-parti dalam kerajaan.

“Perdana Menteri sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kita melihat secara terperinci perkara yang boleh diselesaikan secara bersama,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengesahkan sebarang keputusan dan menyifatkan pertukaran Menteri Besar sebagai isu berasingan yang perlu dibincangkan dalam kerangka perundingan sedia ada.

“(Adakah ini bermaksud perlu ada Menteri Besar baharu?) Itu adalah satu perkara yang lain lagi,” tambah Ahmad Zahid.

Semua 14 ADUN BN-UMNO sebelum ini menarik balik sokongan terhadap Aminuddin atas alasan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar daripada PKR itu.

Pada 28 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar seperti dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. 

Must Watch Video