HORSENS: Pengarah kejurulatihan perseorangan negara Kenneth Jonassen mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan mengecewakan Malaysia pada Final Piala Thomas 2026.
Jonassen yang mengakui kelemahan pasukan negara menyifatkan prestasi keseluruhan mereka sebagai ‘tidak mencapai tahap’, selepas tersingkir pada peringkat suku akhir apabila tewas 0-3 kepada juara bertahan China di Forum Horsens di sini hari ini.
Advertisement
“Sepanjang kempen ini, sudah pasti saya amat kecewa dengan prestasi kami kerana kami hadir dengan terlalu banyak kelemahan dalam permainan.
“Atas perkara itu, sudah tentu saya mengambil tanggungjawab penuh. Ia tidak mencapai tahap. Jadi, itulah bahagian yang mengecewakan ketika ini,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Selain kekalahan kepada China, jurulatih dari Denmark itu merujuk kepada kesukaran sepanjang minggu, khususnya dalam kem perseorangan lelaki apabila kegagalan membina keyakinan terbukti memberi kesan yang besar.
Jonassen berkata dalam kejohanan utama, pemain dijangka menjadi lebih kuat dalam setiap perlawanan, namun Malaysia gagal mewujudkan konsistensi itu pada mana-mana peringkat sepanjang kempen.
“Saya tidak terlalu kecewa dengan prestasi hari ini tetapi saya fikir prestasi sepanjang minggu inilah yang telah mengecewakan kami,” katanya.
Sementara itu, jurulatih berusia 51 tahun itu berkata beliau berharap pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia dapat beraksi dalam perlawanan penentuan, namun tidak kesampaian apabila kempen Malaysia berakhir lebih awal pada perlawanan ketiga menentang China.
Zii Jia selaku pemain nombor 82 dunia muncul sebagai pemain paling konsisten Malaysia dalam kejohanan itu, mencatat tiga kemenangan daripada tiga perlawanan termasuk mengejutkan pemain nombor 20 dunia Koki Watanabe, 21-13, 21-19 pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Rabu lepas.
Sebaliknya, pemain nombor satu negara Leong Jun Hao mengharungi kempen sukar apabila gagal menyumbang mata dalam ketiga-tiga perlawanan yang disertainya, termasuk tewas 10-21, 21-16, 9-21 kepada pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi dalam perlawanan pembukaan menentang China.
Perseorangan kedua Justin Hoh pula, yang beraksi sebanyak empat kali di sini hanya berjaya mencatat satu kemenangan apabila menewaskan pemain Finland Kalle Koljonen, 21-14, 21-12 dalam perlawanan kedua Kumpulan B.
Pemain profesional Aidil Sholeh Ali Sadikin gagal memberi impak apabila tewas kepada Cholan Kayan, 16-21, 15-21 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang England.
Jonassen turut membangkitkan kebimbangan bahawa pendekatan semasa Malaysia dalam acara perseorangan lelaki semakin ketinggalan berbanding tuntutan permainan moden.
“Saya tidak merujuk secara langsung kepada perincian mengenai pemain tetapi saya bersetuju bahawa dalam aspek perseorangan, gaya permainan kami tidak mencapai tahap atau tidak terkini dengan perkembangan permainan,” katanya.
Beliau berkata kemajuan memerlukan perubahan dari segi teknikal dan mental, termasuk kesabaran yang lebih tinggi serta kesedaran taktikal di gelanggang, sambil menggesa pemain mengambil tanggungjawab terhadap perkembangan mereka.
Malaysia memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas England, diikuti kemenangan 4-1 menentang Finland sebelum tewas 2-3 kepada juara 2014, Jepun.
Piala Thomas 2026, yang bermula pada 24 April berlangsung hingga Ahad ini.
-- BERNAMA