Setakat peringkat kumpulan Piala Thomas 2026, perseorangan utama lelaki BAM, Jun Hao (kiri) tewas straight set kedua-dua perlawanan termasuk kepada pemain Finland, manakala Justin (kanan) cuma menang satu daripada tiga perlawanan.

Sektor kebanggaan kini tenat, lekas cari ‘ubat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dahulu, kita rakyat Malaysia lebih sering bergantung kepada pemain perseorangan utama untuk konsisten menyumbang mata dalam kejohanan badminton berpasukan, namun akhirnya berputih mata kerana di hujung kita tewas jua berikutan tiada pemain terakhir yang cukup bagus.

Masih segar dalam ingatan pada final Piala Thomas 2014 di New Delhi. Kita awalnya bersuka ria apabila pemain perseorangan kita juga No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menyumbangkan mata pertama, namun akhirnya kempunan menjulang piala idaman setelah tewas kepada Jepun 2-3 kerana ketiadaan perseorangan ketiga yang berpotensi memberi mata kemenangan setelah kedudukan terikat.

Tahun ini paling berbeza. Kekuatan kita nampaknya lebih disandarkan kepada perseorangan ketiga. Tidak salah jika kita pula ingin ‘feeling’ seperti berada di tempat Jepun pada 2014 itu tetapi Piala Thomas ialah kejohanan berpasukan, semua patut sehabis daya menyumbang dan tidak seharusnya mengharapkan orang yang sama setiap perlawanan sekali gus di bahu segelintir terpikul bebanan begitu tinggi.

Dahulu sektor perseorangan lelaki atau men single (MS) yang paling menjadi kekuatan kita jika hendak dibandingkan sektor perseorangan wanita (WS) atau beregu wanita (WD).

Sungguh menyedihkan di edisi ini apabila perseorangan lelaki pertama dan kedua Malaysia terkulai dan longlai. Leong Jun Hao di ranking ke-25 dunia sebagai pemain pertama negara kalah dalam kesemua perlawanan di peringkat kumpulan. Lebih mendukacitakan, dia bukan sahaja kalah straight set kepada perseorangan Jepun, Kodai Naraoka, tetapi juga pemain Finland.

Perseorangan Malaysia kedua pula Justin Hoh ranking ke-44 dunia hanya menang satu daripada ketiga-tiga perlawanan yang dia diturunkan. Justin kalah kepada pemain Jepun, Yushi Tanaka dan England, Harry Huang dan hanya menang ke atas wakil Finland.

Seorang lagi pemain, Aidil Sholeh yang hanya diturunkan ketika menentang England juga tumbang straight set.

Mujurlah ada Lee Zii Jia yang menjadi penyelamat maruah Malaysia daripada diaibkan England seawal perlawanan pertama sekali gus kita tidak ‘bungkus’ awal. Hanya Zii Jia yang menghuni tangga ke-82 dunia dan baru hendak pulih kecederaan itu menang kesemua tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

Ini menunjukkan di Malaysia kini kita cuma ada satu sandaran perseorangan. Bayangkan kalau Jun Hao atau Justin adalah perseorangan lelaki BAM terbaik yang kita ada, berapa jauhnya beza kita dengan negara-negara lain yang sudah beranak-pinak pemain-pemain hebat sekali gus menunjukkan betapa tenatnya sektor itu kini yang selama ini menjadi tunjang kekuatan dan kebanggaan kita?

Sesuatu perlu dilakukan. Sudah tiba masanya persatuan sukan berkaitan menekan butang panik dengan situasi ini. Sudah tiada alasan, segeralah cari penyelesaian.

Apapun, untuk aksi Thomas ini, Jun Hao dan Justin masih ada ruang untuk membuktikan mereka berkemampuan kerana masih boleh menebusnya di suku akhir hari ini. Moga-moga semangat berapi yang ditunjukkan Zii Jia semasa menundukkan Koki Watanabe pada peringkat kumpulan Rabu lalu, biarpun secara angkanya kita sudah pun tewas kepada Jepun, dapat menyuntik semangat mereka untuk menunjukkan perjuangan sebenar demi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN