Seramai 400 usahawan wanita dalam pelbagai kategori latar belakang dan bidang perniagaan berjaya menamatkan program selama enam bulan sebelum diraikan dalam sebuah majlis di ibu kota.

Tamat enam bulan kursus, 400 wanita graduan sulung WeBBB dirai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USAHA melahirkan usahawan wanita yang hebat tidak terhad melalui penyertaan ceramah atau bengkel, bahkan seharusnya dipertingkat ke tahap yang lebih tinggi antaranya dengan mengikuti kursus yang lebih menyeluruh.

Mengetengahkan pembelajaran dari pelbagai aspek termasuk pengurusan kewangan, inovasi dan sebagainya, langkah itu mampu memantapkan lagi peranan wanita sebagai tulang belakang pembangunan negara.

Itulah yang menjadi matlamat Program Madani Women Empowerment Creating Distinctive Womenpreneurs in Wealth, Brain, Beauty and Behavior (WeBBB).

Baru-baru ini seramai 400 graduan wanita diraikan dalam majlis konvokesyen pertama program tersebut.

Majlis penuh bermakna berlangsung di Saloma Theatre Matic, Kuala Lumpur itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof sekali gus menyaksikan kejayaan program yang bertujuan memperkasa wanita khususnya dalam bidang keusahawanan.

Hadir sama Penasihat Kehormat program WeBBB, Datuk Faridah Jabbar dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (ketika itu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Menerusi program itu, para wanita dapat memperkasa diri dalam empat aspek penting yang diketengahkan Faridah. Ia adalah kekayaan (wealth), kecerdasan (brain), kecantikan dalaman (beauty) dan akhlak mulia (behaviour) atau singkatannya WeBBB.

Misi utama program itu adalah untuk meningkatkan peranan wanita dalam bidang keusahawanan dengan pendekatan yang berinovasi, menyeluruh dan berdaya saing.

Program selama enam bulan itu melibatkan 121 kursus yang merangkumi pengurusan kewangan mampan, inovasi perniagaan serta strategi pemasaran digital bagi membantu wanita memperkukuh perniagaan mereka dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

FADHILAH ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan yang berjaya menamatkan program WeBBB.

Program berjaya melahirkan graduan dari pelbagai latar belakang ekonomi, usia dan kaum meliputi usia antara 18 hingga 82 tahun.

Majoriti graduan adalah usahawan mikro, golongan B40, ibu tunggal, asnaf dan mualaf yang terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan seperti makanan, fesyen, perkhidmatan serta farmaseutikal.

Dalam ucapan perasmian, Fadhilah berkata, majlis tersebut bukan sekadar meraikan kejayaan graduan, tetapi sebagai satu pencapaian penting dalam usaha memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan.

Jelasnya, kejayaan graduan batch pertama ini menamatkan pengajian dalam Program WeBBB anjuran Koperasi Wanita Malaysia Berhad membuktikan bahawa faktor jantina, usia, status sosioekonomi dan kelainan upaya tidak menjadi halangan untuk terus menimba ilmu dan meraih kejayaan.

“Inisiatif ini memberikan peluang kepada wanita untuk mengembangkan potensi mereka dengan lebih meluas.

“Program seperti ini bukan sahaja melahirkan lebih ramai usahawan wanita berjaya di negara ini, malah mampu membawa mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Jelasnya, wanita merupakan tulang belakang dalam pembangunan negara, menyumbang kepada pelbagai sektor termasuk ekonomi, sosial, dan politik.

“Wanita hari ini semakin aktif dalam dunia pekerjaan dan keusahawanan sekali gus membantu meningkatkan produktiviti negara,” katanya.

Fadhilah turut memuji peranan teknologi digital yang membolehkan wanita menjalankan perniagaan dari rumah, seterusnya memudahkan mereka mengimbangi tanggungjawab keluarga dan pekerjaan.

Bagaimanapun, turut diingatkan bahawa masih terdapat cabaran seperti jurang gender, stereotaip dan diskriminasi yang perlu diatasi, namun beliau yakin dengan semangat kerjasama, golongan wanita mampu menghadapinya terutama dalam mendepani Revolusi Industri 4.0.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di