CHURROS dengan aiskrim turut ditawarkan kepada pelanggan.

Nikmati churros klasik dengan sentuhan moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CHURROS bukanlah pencuci mulut asing buat masyarakat di negara ini. Namun, sebuah kafe baharu dikenali sebagai Churri’s Bodega memilih untuk memberikan sentuhan berbeza kepada sajian klasik itu menerusi gabungan idea kreatif dan pilihan perisa moden.

Baru membuka pintunya di Menara UOA Bangsar, Kuala Lumpur pada Jun lalu, Churri’s Bodega merupakan kafe pencuci mulut yang menjadikan churros sebagai tarikan utama.

Menariknya, kafe itu menampilkan pelbagai variasi churros dari bentuk tradisional hingga olahan seperti donat.

Konsep kafe itu dibina berasaskan dua karakter fiksyen, Churri dan Grandpa yang mempunyai personaliti bertentangan.

Grandpa digambarkan sebagai pembuat churros yang mementingkan tradisi, ketelitian dan teknik pembuatan, sementara Churri pula bersifat ingin tahu serta gemar mencuba idea baharu.

Pertembungan dua karakter berkenaan kemudian diterjemahkan pada menu Churri’s Bodega yang menggabungkan elemen klasik dengan pilihan perisa lebih kontemporari.

Antara menu yang menjadi identiti premis berkenaan adalah Churronut iaitu olahan berinspirasikan churros dan donat.

Ia ditawarkan dalam beberapa variasi termasuk Pandan Chocolate with Coconut Flakes, Caramel with Dried Strawberry, White Chocolate with Raspberry serta Dark Chocolate with Almond.

Bagi mereka yang mahukan pencuci mulut lebih mengenyangkan, terdapat juga Churronut Sand yang menggunakan Churronut bertekstur lembut sebagai asas sebelum diapit bersama coklat, serbuk biskut Oreo dan krim vanila.

Namun bagi penggemar churros tradisional, mereka masih mempunyai pilihan menerusi churros berbentuk jejari yang disediakan segar.
Terdapat tiga pilihan iaitu original, coklat dan red velvet yang boleh dinikmati bersama kemasan kayu manis atau gula serbuk.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Churri’s Bodega, Chong Li Bing, budaya makanan di Malaysia yang pelbagai menyaksikan pengguna sentiasa teruja mencuba perisa dan konsep kafe baharu.

“Kami mahu menawarkan sesuatu yang terasa biasa dengan memberikannya sentuhan menyeronokkan. Pada masa sama, kami masih mahu mengekalkan kemahiran pembuatan serta rasa yang memberikan keselesaan,” katanya.

Selain makanan, premis tersebut turut membawa penceritaan Churri dan Grandpa ke dalam ruang kafe menerusi perincian dekorasi berinspirasikan karakter, mesej tersembunyi dan elemen interaktif.

Dengan gabungan churros klasik dan interpretasi lebih moden, Churri’s Bodega memberi pilihan baharu kepada penggemar pencuci mulut berkenaan dalam bentuk dan padanan rasa berbeza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di