DALAM usaha memperjuangkan kesedaran halal dan memperluas penerimaan produk halal dalam pasaran, sebuah seminar Digitalpreneur 2026 telah diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu baru-baru ini.
Program yang berlangsung di Dewan Kuliah Anggerik (DKA) itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), UiTM Cawangan Terengganu dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan Haus International Sdn. Bhd. (Haus) sebagai rakan industri.
Program berkenaan turut mendapat penyertaan pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi tujuan penandaarasan (benchmarking), selain penglibatan ahli akademik daripada beberapa cawangan UiTM.
Ia memberi peluang kepada pelajar melihat secara langsung bagaimana program pemindahan ilmu kepada komuniti dirancang dan dilaksanakan melalui kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan industri.
Pengarah Urusan Haus merangkap Pengasas Haus Cosmetics, Norazimah Abd. Jalil berkata, seminar Digitalpreneur 2026 menjadi platform penting dalam membantu lebih 200 usahawan tempatan menyesuaikan perniagaan dengan perubahan tingkah laku pengguna.
Menurutnya, seminar selama dua hari itu berjaya menghimpunkan usahawan Program Jaya Diri (PJD) dari beberapa zon Parlimen di Terengganu.
Matlamat dan objektifnya untuk memberi penekanan kepada asas keusahawanan dan pemasaran digital berdasarkan keperluan sebenar usahawan dalam persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif.
Jelas Norazimah, berbekalkan pengalaman luas sebagai pengamal industri, penekanan adalah kepada perniagaan bukan hanya berkaitan jualan dan promosi.
“Perniagaan turut membawa tanggungjawab untuk memastikan produk yang ditawarkan memenuhi keperluan serta keyakinan pengguna terhadap aspek halal.
“Kesedaran halal perlu bermula sejak pemilihan bahan sehingga produk dipasarkan. Apabila proses ini difahami, keyakinan pengguna terhadap jenama juga akan meningkat,” katanya kepada K-Kampus.
Ujarnya, pendekatan tersebut selari dengan perjuangan syarikat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk pelajar dan para usahawan terhadap produk halal, di samping membantu ia mendapat tempat yang lebih kukuh serta diyakini dalam pasaran.
“Peserta diberi kefahaman bahawa aspek halal perlu diberi perhatian sejak peringkat pembangunan produk, pemilihan bahan dan proses pengeluaran sehinggalah kepada cara produk dipasarkan kepada pengguna.

“Kesedaran halal mempunyai nilai besar dalam pembinaan jenama kerana ia berkait rapat dengan kepercayaan, kredibiliti dan keyakinan pengguna terhadap sesuatu produk.
“Halal juga tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut pematuhan, tetapi sebagai elemen penting yang boleh mengukuhkan reputasi dan meningkatkan daya saing produk, khususnya dalam pasaran pengguna Muslim,” katanya.
Tambah Norazimah, gabungan kesedaran halal dengan kreativiti, pemasaran digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) memberi nilai tambah kepada peserta supaya mereka bukan sahaja mampu memasarkan produk dengan lebih menarik, malah membina perniagaan yang memperoleh kepercayaan pengguna.
Dalam sesi penulisan kreatif, peserta dibimbing Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Terengganu Dr. Haslenna Hamdan mengenai teknik menghasilkan penulisan dan kandungan pemasaran yang lebih menarik, kreatif serta berupaya mencuri perhatian pelanggan.
Peserta turut didedahkan kepada cara membina mesej pemasaran yang berkesan supaya produk bukan sahaja dipromosikan berdasarkan ciri dan harga tetapi mempunyai cerita, identiti serta mesej yang mampu mewujudkan hubungan dengan pengguna.
“Produk yang baik perlu disokong dengan cerita dan mesej yang jelas.
“Penulisan kreatif penting dalam membantu usahawan menyampaikan nilai produk dengan lebih berkesan,” katanya.
Selari dengan perkembangan teknologi semasa, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Terengganu, Dr. Masri Abdul Lasi pula memberi pendedahan praktikal mengenai penggunaan AI dalam pemasaran.
Melalui sesi tersebut, peserta didedahkan bagaimana AI boleh membantu menghasilkan idea dan kandungan pemasaran dengan lebih pantas selain membina jenama, merancang kandungan media sosial serta menghasilkan bahan promosi yang kreatif serta menarik.
Bagi seorang usahawan PJD yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul menyifatkan seminar yang dianjurkan memberinya banyak input terutama dari sudut kesedaran halal, teknik pemasaran dan penggunaan AI.
“Sebelum ini saya hanya memberi tumpuan kepada jualan semata-mata.
“Selepas seminar ini, saya lebih faham bagaimana halal, kandungan kreatif dan teknologi boleh menguatkan perniagaan yang diusahakan,” katanya.
Terdahulu, majlis perasmian seminar Digitalpreneur 2026 disempurnakan Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), UiTM Cawangan Terengganu, Dr. Baktiar Musa.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sosio Ekonomi YPKT, Siti Khatijah Sapei,Pengarah Alumni Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM, Prof. Madya Ts. Dr. Nur Aliana Hidayah Mohamed serta barisan tetamu jemputan lain.
Pendekatan forum dan hands-on sepanjang seminar diselia Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Johor yang juga alumni UiTM Terengganu, Dr. Jannah Munirah Mohd. Nor selaku moderator yang membantu peserta sepanjang program berlangsung.














