20 pelajar kohort pertama penerima Biasiswa AIA Penyala Harapan menerima tajaan biasiswa dengan jumlah keseluruhan RM1.6 juta bagi melanjutkan pengajian di UIAM. - SADDAM YUSOFF

Biasiswa RM4.8 juta sumbangan lebihan takaful peserta AIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Impian menggenggam segulung ijazah kini lebih cerah buat 60 pelajar apabila AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) memperluas Program Biasiswa AIA Penyala Harapan dengan komitmen dana keseluruhan RM4.8 juta.

Terbaharu, syarikat itu meng­umumkan komitmen tambahan RM3.2 juta bagi menyokong 40 pelajar, sekali gus memperluas manfaat program yang dilancarkan pada Oktober 2025 itu kepada le­bih ramai anak muda Malaysia.

Daripada jumlah tambahan tersebut, RM1.6 juta diperuntukkan bagi kohort kedua seramai 20 penerima biasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), manakala RM1.6 juta lagi bagi kohort pertama 20 penerima dari Universiti Malaya (UM).

Pengumuman itu dibuat pada 18 Ogos lalu ketika majlis penyampaian biasiswa Program AIA Pe­nyala Harapan yang meraikan 20 pe­nerima kohort pertama daripada UIAM di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Mohd. Asri Omar berkata, peluasan program itu mencerminkan komitmen pihak­nya untuk mewujudkan peluang pendidikan kepada pelajar berpotensi tinggi dan berkelayakan.

Katanya, pendidikan mempunyai kekuatan untuk mengubah kehidupan seseorang, selain membantu generasi muda menyedari potensi diri dan mencipta masa depan lebih baik untuk diri sendiri, keluarga serta komuniti.

“Tujuan kami di AIA adalah membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna. Walaupun ramai yang me­ngaitkannya dengan perlindungan kewangan dan penjagaan kesihatan, kami percaya tujuan ini juga bermula dengan peluang.

“Salah satu peluang terbaik yang boleh kita berikan kepada seseorang adalah akses kepada pendidikan,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan di sini.

MOHD. ASRI (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Chai Tze Siang (dua, kiri) bersama Timbalan Rektor, Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti UIAM, Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan (kiri) serta Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa UM, Prof. Dr. Hasniza Zaman Huri pada majlis penyampaian biasiswa AIA Penyala Harapan.

Menurut Mohd. Asri, dana Program Biasiswa AIA Penyala Harapan disalurkan menerusi sumbangan lebihan takaful yang didermakan secara sukarela oleh pemegang sijil AIA PUBLIC Takaful kepada Tabung Amal AIA Penyala Harapan.

Jelasnya, inisiatif itu merupakan manifestasi semangat Berkat Sama-Sama, selaras dengan prinsip takaful yang menggalakkan sikap saling membantu dan berkongsi manfaat demi kebaikan bersama.

“Dengan adanya inisiatif komuniti AIA Penyala Harapan, peserta diberi peluang untuk menyumbangkan lebihan daripada pelan takaful masing-masing bagi mewujudkan dana yang seterusnya digunakan untuk menyokong pelbagai aktiviti kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Tambah beliau, bantuan yang diberi kepada penerima tidak terhad kepada pembiayaan yuran pengajian dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian kerana mereka turut berpeluang menerima pementoran, pendedahan industri dan inisiatif kesediaan kerjaya bagi mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan.

Sementara itu, seorang pene­rima biasiswa, Sarah Amalia Mohd Sahid, 20 berkata, peluang tersebut amat bermakna kerana membolehkannya memberi lebih tum­puan kepada pengajian tanpa terlalu memikirkan soal kewangan.

Menurut pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam UIAM itu, bantuan berkenaan membolehkannya menampung yuran pengajian dan kos sara hidup tanpa perlu membebankan keluarga.

“Saya bersyukur kerana berpeluang menjadi penerima biasiswa AIA Penyala Harapan. Pada masa sama, saya perlu berusaha lebih keras untuk membuktikan kepercayaan yang diberikan pihak AIA kepada saya.

“Biasiswa ini lebih dari cukup untuk keperluan seorang pelajar. Ia dapat tampung perbelanjaan keseluruhan saya di universiti,” katanya.

SARAH AMALIA (kanan) dan Muhammad Salihin menunjukkan sijil Biasiswa AIA Penyala Harapan yang diterima daripada AIA PUBLIC Takaful.

Seorang lagi penerima, Muhammad Salihin Hakkim Mohamed, 21, berkata, biasiswa berkenaan menjadi satu kejutan buatnya selepas beberapa permohonan biasiswa sebelum ini tidak berjaya.

“Saya ingat sudah tidak dapat dan mungkin tiada rezeki. Tiba-tiba dapat e-mel daripada AIA yang mengatakan saya penerima biasiswa. Saya bangga dan ibu bapa saya pun bangga,” katanya.

Di UIAM, biasiswa ditawarkan kepada pelajar ijazah sarjana muda tahun pertama dalam bidang Perbankan Islam, Kewangan Islam dan Undang-undang, manakala kerjasama dengan UM merangkumi bidang Sains Aktuari, Sains Komputer, Ekonomi, Perakaunan, Kewangan, Perubatan, Pembedahan, Sains Kejururawatan dan Pentadbiran Perniagaan.

Dengan penglibatan UM sebagai rakan universiti kedua serta pe­luasan komitmen kepada UIAM, AIA PUBLIC Takaful berharap program berkenaan menjadi pemang­kin melahirkan generasi pemimpin masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keyakinan, kemahiran dan pengalaman untuk menyumbang secara positif kepada keluarga, masyarakat serta negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Biasiswa AIA Penyala Harapan, layari www.aia.com.my

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di