PASANG surut air menjadi metafora kepada perjalanan seorang pereka fesyen, Akmal Hakim dalam mencari dan memahami identitinya menerusi koleksi terbaharu, Tides of Identity yang dipersembahkan pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 baru-baru ini.
Bagi Akmal, koleksi berkenaan bukan sekadar himpunan busana, sebaliknya sebuah arkib diri yang merakam perjalanan, pengalaman, minat, akar budaya serta perkembangan dirinya sebagai seorang pereka.
Segalanya bermula daripada satu persoalan yang cukup peribadi iaitu “Siapa Akmal Hakim sebagai seorang pereka?”
Selepas banyak bekerja dengan pelbagai jenama dan projek, Akmal menyifatkan dirinya seperti ‘chameleon’ kerana mampu menyesuaikan diri dengan identiti dan kehendak jenama berbeza.
Namun, menurut Akmal, apabila menghasilkan koleksi sendiri, persoalan tentang identiti semakin kuat bermain di fikirannya.
“Bagi saya, Tides of Identity bermaksud identiti yang sentiasa bergerak seperti pasang surut.
“Identiti bukan sesuatu yang kita temui sekali dan terus kekal begitu,” katanya kepada CitaRasa.
Justeru, koleksi itu menjadi ruang buat Akmal menyelami pelbagai lapisan dirinya, termasuk akar keluarganya dari Sabah.
Akmal berdarah Bajau Laut di sebelah bapa dan Bugis di sebelah ibu.

Elemen daripada warisan tersebut kemudian diterjemahkan menerusi interpretasi himpagot, motif linangkit, bentuk perahu serta elemen visual berkaitan kehidupan maritim.
Bagaimanapun, dia tidak mahu menterjemahkan warisan itu secara literal.
Sebaliknya, elemen berkenaan diolah dan disatukan dengan bahasa rekaan ‘Akmal Hakim’ yang lebih moden menerusi permainan struktur, tekstur, material serta pertembungan unsur maskulin dan feminin.
Untuk KLFW 2026, sebanyak 14 rekaan dipersembahkan dengan beberapa daripadanya menjadi antara fokus utama koleksi.
Antaranya jaket kulit dengan potongan laser berinspirasikan motif linangkit, rekaan dengan perincian syiling yang diinspirasikan daripada himpagot serta fabrik metalik yang dipotong menggunakan teknik laser bagi menghasilkan tekstur berlapis menyerupai sisik ikan.
Permainan fringe, fabrik moire, material reflektif serta beberapa siluet berskala besar turut menghidupkan koleksi berkenaan.
Menariknya, Akmal banyak bermain dengan kontras yang dianggap sebagai sebahagian daripada DNA rekaannya.
“Potongan tailoring dan kulit yang tegas dipadankan dengan organza, fringe, kilauan serta bentuk yang lebih lembut, sekali gus menghasilkan pertembungan antara keras dan lembut, struktur dan fluid.
“Dari segi warna pula, saya memilih palet yang terkawal menerusi putih, beige, hitam dan perak supaya perhatian lebih diberikan kepada siluet, tekstur serta perincian.
“Putih mengambil inspirasi daripada buih laut, beige menggambarkan pasir dan pesisir, manakala hitam mewakili kedalaman lautan yang luas dan penuh misteri.
“Perak pula membawa gambaran pantulan cahaya di permukaan air, selain memberikan sentuhan moden dan futuristik,” katanya.
Dalam pada itu, bentuk oversized, cocoon dan bahu lebih kuat memberikan karakter dramatik kepada sesetengah rekaan, termasuk siluet yang mengambil inspirasi daripada perahu tradisional masyarakat Bajau Laut.
Bagi Akmal, pakaian bukan sekadar cantik ketika statik, sebaliknya perlu mempunyai kehidupan apabila bergerak di atas pentas.
Kemuncak koleksi itu diterjemahkan menerusi rekaan penutup yang mempunyai bentuk kuat dan dramatik, namun masih mengekalkan elemen pergerakan.
Jika pembukaan koleksi membawa persoalan ‘Siapa Akmal Hakim?’, rekaan terakhir itu seolah-olah menjadi jawapannya.
Namun, pencarian itu belum berakhir kerana bagi Akmal, identiti sentiasa berubah mengikut pengalaman dan perjalanan hidup.
“Saya mungkin masih belum mempunyai semua jawapannya dan mungkin identiti itu akan terus berubah seiring perjalanan saya.
“Tetapi melalui koleksi ini, saya rasa saya semakin dekat untuk mengenali diri dan memahami apakah sebenarnya identiti ‘Akmal Hakim’,” katanya.














