Kemunculan rokok elektronik dan vape di Malaysia memberi ketagihan baru kepada orang muda khususnya pelajar sekolah.

‘Berasap’ depan sekolah, apa nak jadi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap pagi apabila melalui sebuah sekolah menengah di Shah Alam, Selangor mata pasti tertumpu kepada kumpulan pelajar yang menunggang motosikal.

Sebelum ini, pemandangan berkenaan adalah biasa tetapi setelah beberapa kali melihat terdapat kepulan asap vape di sebalik deretan motosikal yang diparkir itu, ia menjadi satu pandangan luar biasa.

Di satu sudut, kelihatan guru serta pengawas ‘bertugas’ menunggu pelajar sebelum pagar ditutup 7.30 pagi.

Namun tanpa rasa bersalah pelajar ini masih sempat menyedut vape sebelum masuk sekolah.

Kalau dilihat dari segi fizikal mereka adalah pelajar tingkatan dua atau tiga, seawal usia itu sudah pandai ‘berasap’ di luar sekolah.

Lebih mengejutkan, ada pelajar mendakwa bahawa rakan sekelasnya menghisap vape dalam kelas ketika guru tiada. Mereka menunduk seolah-olah mengantuk tetapi sebenarnya menghisap vape tanpa rasa bersalah.

Inikah anak muda yang kita mahukan untuk masa hadapan. Adakah mereka mahu menderita dengan pelbagai penyakit pada usia muda?

Inilah ketagihan baharu anak muda Melayu kita. Kemunculan rokok elektronik dan vape di Malaysia bukanlah perkara baharu.

Lebih sedekad lalu produk ini mula mendapat perhatian dan sekitar pertengahan 2010 penggunaannya semakin ketara sehingga Kementerian Kesihatan pada 2015 mengeluarkan penerangan mengenai kandungan serta risiko rokok elektronik dan vape.

Pada peringkat awal, vape sering dipromosikan sesetengah pengguna sebagai alternatif kepada rokok konvensional. Bentuknya moden, tidak menghasilkan abu dan hadir dengan pelbagai perisa.

Daripada peranti besar, teknologi itu kemudian berubah menjadi pod dan peranti pakai buang yang semakin kecil, mudah dibawa dan disembunyikan.

Titik penting dalam dasar negara berlaku pada 31 Mac 2023 apabila kerajaan mengecualikan sediaan nikotin dalam bentuk cecair atau gel yang digunakan bagi rokok elektronik dan vape daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

Kerajaan ketika itu turut mengenakan duti eksais terhadap cecair atau gel bernikotin dan menyatakan hasrat membawa undang-undang baharu untuk mengawal produk merokok.

Kemudian lahirlah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). Akta tersebut berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024 dan pelaksanaannya dibuat secara berfasa sebelum pelaksanaan penuh bermula 1 Oktober 2025.

Antaranya, undang-undang ini mengawal pendaftaran, penjualan, pengiklanan dan produk merokok termasuk vape serta melarang penjualan kepada individu bawah 18 tahun.

Persoalan lebih besar ialah bagaimana barang yang sepatutnya tidak berada di tangan pelajar sekolah akhirnya boleh berada dalam genggaman mereka.

Lebih membimbangkan apabila menghisap vape seakan-akan semakin dinormalisasikan dalam kehidupan sesetengah remaja.

Kita tidak mahu baru berumur 20 tahun sudah kena tebuk dada sana sini kerana kebocoran organ akibat ketagihan vape. Jangan tunggu nasi sudah jadi bubur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN