SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kota Bharu di Kelantan atas pertuduhan menikam abangnya sendiri dalam kejadian 1 Mei lalu.
Tertuduh, Mohd Izwan Sukarnor, 36, membuat pengakuan itu pada Rabu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, Izwan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap abangnya, Mohd Fakhran, 40, dengan menikam mangsa menggunakan tulang ekor pari di sebuah rumah di Kampung Pauh Jabit, Beris Kubur Besar, Bachok pada pukul 9.30 pagi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan.
Bagi Seksyen 326A, mahkamah memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum jika disabitkan dengan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.