TIDAK malu membeli kereta terpakai sebagai kenderaan pertama, pemuda bernama Alief Rezariel Reduan memilih untuk tidak mengendahkan kata-kata segelintir netizen yang memperlekehkan keputusannya itu.
Menurut Alief, 20, dia berbangga dengan hasil titik peluh sendiri dalam mencapai impian memiliki kenderaan.
“Saya tak kisah apa orang nak cakap. Bagi saya, ini duit yang saya kumpul sendiri dan penat lelah itu saya yang rasa. Ini satu pencapaian untuk diri saya,” katanya kepada mStar.
Berkongsi lanjut, Alief berkata dia sudah terbiasa berdikari sejak di bangku sekolah dan tidak mahu terlalu bergantung kepada ibu bapanya.
“Masa belajar pun saya kerja dan usaha sendiri. Ketika di tingkatan enam, semua perbelanjaan saya tanggung sendiri.
“Ibu bapa saya bukan orang susah, cuma saya yang tak mahu menyusahkan mereka. Saya tahu mereka sudah bekerja penat-penat, jadi saya tak sampai hati nak bebankan mereka,” ujarnya.
Dalam masa sama, Alief turut memberitahu dia membeli kereta itu selepas melalui fasa perpisahan dalam hubungan.
Sebelum ini, perkongsian Alief tular di aplikasi Threads apabila dia meluahkan rasa gembira berjaya membeli kereta terpakai jenama Proton Gen-2 pada usia muda.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI

































































































































































