HAMPIR setahun membuang implan di bahagian dada kerana mahu kembali kepada fitrah asal sebagai lelaki, usahawan Diva M membuat keputusan itu selepas memikirkan dia tidak boleh terus hidup menyerupai wanita selamanya.
Menyedari usia semakin meningkat serta anak yang kian membesar, Diva, 37, berkata dia mula memikirkan soal jati diri selain mahu lebih mensyukuri nikmat rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
“Bila fikir balik, sampai bila saya nak pakai baju perempuan, pakai bra? Saya mula persoalkan diri sendiri.
“Sampai satu tahap saya sedar siapa diri saya sebenarnya. Anak makin besar, saya pula semakin berusia… takkan nak terus macam ini.
“Allah bagi saya rezeki yang banyak. Kalau saya tak berubah, bila pula saya nak bersyukur? Dulu saya tinggal solat, tapi lepas buang implan, sekarang saya usaha untuk tak tinggalkan solat,” katanya kepada mStar.
Berkongsi lanjut mengenai penghijrahannya itu, kata Diva keputusan membuang implan payudara dibuat selepas berdepan perasaan tidak selesa selain pengalaman mimpi yang memberi kesan mendalam dalam hidupnya.
“Waktu itu saya rasa tak selesa, macam ada sesuatu melekat pada badan. Sampai satu tahap saya pernah mimpi saya mati dan benda itu masih melekat pada tubuh saya.
“Dari situ saya ambil keputusan untuk buang implan dan berdoa supaya Allah tunjukkan jalan. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan dan saya harap dapat jadi insan lebih baik selepas ini.
“Sekarang nak solat pun rasa lebih selesa, tak rimas. Hidup saya juga lebih tenang dan inilah jalan yang saya pilih sampai tua,” ujarnya.
Bercerita mengenai latar belakang hidupnya, Diva M memaklumkan dia pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak kandung yang kini berusia lapan tahun.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI

































































































































































