Ringkasan AI
- Gerbang Laut Holei, formasi batu lava ikonik setinggi 27 meter di Hawaii, runtuh ke Lautan Pasifik menurut Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat (NPS).
- Struktur semula jadi yang menjadi tarikan pelancong itu telah menunjukkan tanda-tanda ketidakstabilan selama bertahun-tahun dan pernah diberi amaran akan runtuh.
- Runtuhan berlaku ketika taman negara ditutup akibat Ribut Tropika Nolo, dan perubahan ini dianggap sebahagian daripada evolusi landskap pesisir pantai kawasan tersebut.
HONOLULU: Gerbang Laut Holei (Holei Sea Arch), formasi batu lava ikonik setinggi kira-kira 27 meter yang terbentuk sekitar 550 tahun lalu di Hawaii, runtuh ke Lautan Pasifik, menurut Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat (NPS).
NPS memaklumkan struktur semula jadi yang menjadi tarikan pelancong terkenal itu masih kelihatan menonjol ke arah laut pada 23 September, namun didapati telah runtuh sepenuhnya menjelang 27 September.
Menurut agensi itu, kawasan pesisir pantai di sekitar gerbang tersebut telah menunjukkan tanda-tanda ketidakstabilan selama bertahun-tahun, dan pihaknya pernah memberi amaran pada 2021 bahawa struktur berkenaan akhirnya akan runtuh.
Gerbang Laut Holei terletak di penghujung Jalan Chain of Craters di Taman Negara Gunung Berapi Hawaii di Pulau Hawaii, atau lebih dikenali sebagai "Big Island", dan merupakan antara lokasi yang paling kerap dikunjungi serta dirakam oleh pelancong.
Pihak taman negara percaya struktur itu berkemungkinan runtuh ketika taman berkenaan ditutup sementara akibat Ribut Tropika Nolo pada hujung minggu lalu.
NPS berkata gempa bumi yang berlaku semasa letusan Gunung Berapi Kīlauea dan keruntuhan puncaknya pada 2018 turut menyebabkan kerosakan pada tebing berhampiran gerbang tersebut.
Keruntuhan Gerbang Laut Holei menjadi satu lagi perubahan semula jadi yang membentuk landskap pesisir pantai taman negara itu.
Pada Januari 2020, kawasan tontonan asal berhampiran gerbang itu ditutup selepas rekahan baharu dan tanda-tanda ketidakstabilan dikesan pada tebing, sebelum satu kawasan pemerhatian baharu dibuka beberapa bulan kemudian pada jarak yang lebih selamat.
Pada tahun yang sama, ombak kuat akibat ribut tropika turut memecahkan sebahagian batu pada bahagian bawah gerbang tersebut.
Menurut NPS, walaupun formasi itu sangat indah, ia bersifat sementara dan mempunyai jangka hayat yang terhad.
"Gerbang laut itu akhirnya akan runtuh ke laut. Namun, formasi lain akan menggantikannya apabila tebing secara perlahan-lahan berundur ke pedalaman," menurut kenyataan agensi itu pada 2021.
Perkongsian NPS mengenai keruntuhan Gerbang Laut Holei di media sosial menerima ribuan reaksi dan komen daripada orang ramai yang berkongsi kenangan serta gambar ketika mengunjungi lokasi berkenaan.
Seorang pengguna Facebook menyifatkan peristiwa itu sebagai peringatan bahawa tiada apa yang kekal selamanya dan menggesa orang ramai menghargai keindahan alam semula jadi selagi masih berpeluang berbuat demikian.