BULAN Ogos sinonim dengan kemerdekaan negara. Sayangnya Malaysia kini seolah-olah terperangkap dalam politik pecah belah. Lihat sahaja komen-komen netizen serta ‘permainan’ agenda di media sosial ketika ini. Ramai yang hanyut dalam naratif parti-parti politik.
Kebelakangan itu ‘kencang’ di media sosial dengan polemik amalan rasuah dengan stereotaip bangsa. Dahulu Melayu sering dimomokkan dengan konotasi negatif sebagai golongan malas, terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan seperti hak istimewa atau kuota.
Masyarakat Cina pula dikaitkan dengan sifat tamak, hanya mementingkan wang, dominasi ekonomi dan paling buruk tidak setia kepada negara. Kaum India pula terkait masalah sosial, jenayah atau ketagihan alkohol. Sejujurnya penulis sudah muak dengan momokan sebegitu.
Sedar atau tidak, ini ‘jarum halus’ ahli politik. Setiap kali musim pilihan raya. Manipulasi untuk meraih sokongan. Isu seperti rasuah, ketuanan bangsa, orang bukan Melayu bakal ditindas sering dilaung sebagai modal kempen. Sekali gus menyemarakkan rasa tidak percaya antara kaum.
Kini timbul pula kenyataan sinis ‘tak mengapa jika nak curi, rompak atau sakau yang penting yang ambil duit itu orang Melayu’. Persoalannya adakah kaum Melayu ini suka rasuah?
Kami sendiri orang Melayu pun bencikan perbuatan rasuah, curi, sakau atau rompak wang rakyat. Jika tidak takkanlah pernah suatu ketika gelombang rakyat menang dalam pilihan raya umum. Saluran orang muda ketika itu sesak. Tidakkah kita ingat?
Hari ini sekiranya orang muda (terutamanya non-partisan, pengundi kelabu/atas pagar) yang sama ‘swing’ mengundi parti lain adakah mereka ini penggalak rasuah dan sakau?
Realitinya golongan berkuasa mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk terlibat dalam rasuah. Kedudukan mereka mewujudkan monopoli dalam membuat keputusan kritikal seperti kelulusan projek, pengagihan dana atau penguatkuasaan undang-undang. Bukan pengundi.
Kelemahan sistem pentadbiran, sifat tamak peribadi dan ketiadaan ketelusan ini akhirnya membenarkan amalan rasuah terus membiak dalam kalangan mereka yang memegang amanah.
Pada 8 Mei 2018, sehari sebelum tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kumpulan media termasuk penulis (bertugas di Kelantan ketika itu) dipelawa Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) ke Palm Manor, Kota Bharu.
Masih teringat antara kiasan yang diucapkan veteran UMNO tersebut berkenaan ‘gelombang’ rakyat, orang muda yang pulang untuk mengundi ketika itu. Beliau mengungkapkan ‘mood’ rakyat ketika itu amat ‘dahsyat’, lebuh raya-lebuh raya nampak ‘kelam’. Kiasan beliau tersebut seolah-olah membayangkan nasib Barisan Nasional (BN) keesokan harinya.
Sejak 2018 sudah berapa kali kerajaan terbentuk dalam tempoh dua penggal PRU. Menteri-menteri yang berubah. Rakyat jelata tetap sama, masih lagi setiap hari mengharung kesesakan trafik mencari rezeki halal. – KOSMO! ONLINE














