RANTAU PANJANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa pihak berkuasa Thailand meminta bantuan untuk mengesan sebarang pergerakan individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pemisah yang dipercayai terlibat dalam kejadian letupan bom di tiga wilayah selatan negara berkenaan baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya menjalankan siasatan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membantu pihak berkuasa Thailand dalam menyelesaikan isu tersebut.
“Ia bukan perkara baharu kerana PDRM sememangnya menerima permintaan itu daripada pihak berkuasa Thailand dari semasa ke semasa.
“Daripada dahulu lagi kita terima perkara ini, tetapi PDRM akan melaksanakan dari masa ke semasa segala perkara yang diminta oleh mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand dekat pangkalan haram Lubok Gong di sini hari ini.
Mohd. Khalid memberitahu, pihak sudah mempertingkatkan kawalan keselamatan dengan menambah anggota, menggunakan dron dan peralatan canggih bagi memastikan tiada ketirisan berlaku di sempadan.
Katanya, kawalan berterusan turut diperlukan bagi mencegah penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barangan keperluan harian.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid meminta rakyat Malaysia supaya berhati-hati ketika melakukan perjalanan ke negara jiran susulan perkembangan keselamatan di Selatan Thailand.
“Saya minta dan saya memohon kepada rakyat Malaysia supaya berhati-hati semasa melakukan perjalanan ke negara jiran supaya keadaan diri, keselamatan diri itu sentiasa berada di tahap yang baik dan dapat dielakkan daripada perkara-perkara yang di luar dugaan yang mungkin boleh mendatangkan kemudaratan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














